
Di Facebook hari ini, Cyberview mengucapkan tahniah kepada Romli atas pelantikannya.
“Dengan lebih tujuh tahun pengalaman dalam tadbir urus korporat dan 15 tahun sebagai usahawan teknologi, minat Romli dalam bidang keusahawanan dan pembangunan bakat menjadikannya seorang mentor dan penasihat yang dicari-cari dalam industri teknologi dan inovasi,” menurut hantaran Facebook Cyberview.
Romli pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri bawah pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018.
Beliau kini berkhidmat sebagai penasihat pelaburan kepada menteri besar Negeri Sembilan.
Bawah kerajaan perpaduan, beberapa ahli politik telah dilantik dalam GLC dan badan berkanun.
Pada Mac, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai pengerusi Mara, manakala Timbalan Ketua PKR Pulau Pinang Bakhtiar Wan Chik dilantik sebagai pengerusi MyCreative Ventures.
Bekas Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub dilantik semula sebagai pengerusi Felcra, Ahli Parlimen Subang Wong Chen dinamakan pengerusi bukan eksekutif Malaysia Debt Ventures Bhd, dan Ahmad Sabki Yusof, bekas setiausaha politik Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, dilantik sebagai pengerusi baharu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Pelantikan politik bawah kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim menerima kecaman hebat, dengan kumpulan reformasi pilihan raya Bersih mengkritiknya kerana meneruskan amalan itu walaupun Anwar sendiri mendesak reformasi sejak dua dekad lalu.
Bersih berkata, perdana menteri mesti merebut peluang ini untuk menamatkan amalan pelantikan politik dan naungan selama berdekad-dekad, yang sebelum ini lazimnya berakhir dengan rasuah dan salah urus GLC.