Malaysia bakal miliki akses internet terpantas di Asia Tenggara

Malaysia bakal miliki akses internet terpantas di Asia Tenggara

Ia akan dilaksanakan menerusi projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi EM-IIG yang dijangka siap pada 2022.

Wan Azizah Wan Ismail berkata projek EM-IIG akan membantu pertumbuhan industri baru berteknologi tinggi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Malaysia bakal memiliki akses kelajuan internet terpantas yang menyediakan platform 5G pertama di Asia Tenggara menerusi projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi “Enhanced Malaysia International Internet Gateway” (EM-IIG) yang dijangka siap pada 2022.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata projek bernilai RM5.45 bilion itu merangkumi pemasangan fiber gentian optik terbesar dunia melibatkan jajaran sepanjang 110,000 km.

Katanya, fasa pertama projek itu dijangka siap November tahun ini dengan jajaran internet yang menghubungkan akses dari Pengerang, Johor hingga ke Putrajaya yang mana pengguna dapat menikmati kadar kelajuan sehingga 1 gigabit sesaat.

“Buat masa sekarang pada kelajuan 13 megabit sesaat, video definisi tinggi (HD) bersaiz 5GB akan mengambil masa selama 51 minit manakala dengan terlaksananya projek ini, video tersebut dapat dimuat turun dalam masa 8 minit sahaja,” katanya pada perasmian projek itu.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Berdasarkan sumber source.cable.co.uk, Wan Azizah berkata kepantasan internet di Malaysia berada di tangga ke-48 dengan purata kelajuan hanya 3 megabit sesaat dan kelajuan masih dianggap kurang memuaskan.

Menerusi projek EM-IIG yang melibatkan pemasangan gentian optik fiber berkapasiti 150 terabit, ia bakal menawarkan akses internet berkelajuan tinggi dengan harga murah selari dengan persiapan kerajaan ke arah revolusi industri 4.0.

“Alcatel Submarine Networks akan memasang gentian optik fiber dasar laut sepanjang 7,500 km bermula dari hab Internet antarabangsa di Hong Kong ke Malaysia dan akan dipanjangkan ke Thailand, Kemboja, Vietnam dan Filipina.

“Projek ini bakal memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat negara ini tetapi pelanggan dari seluruh dunia apabila kabel ini disambungkan ke negara luar,” katanya.

Menurut Wan Azizah, kerajaan akan memberi kerjasama penuh kepada pelaksanaan projek EM-IIG kerana ia akan membantu pertumbuhan industri baru berteknologi tinggi, selain menjana ekonomi negara ke arah status negara maju.

Projek EM-IIG itu dibangunkan oleh Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd yang akan mengurangkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.

Sebagai inisiatif tanggunjawab sosial, syarikat itu akan memberi perkhidmatan internet berkelajuan tinggi secara percuma ke semua sekolah kerajaan, hospital dan klinik kesihatan kerajaan serta universiti awam seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.