50 maut dalam serangan bunuh diri di Afghanistan

50 maut dalam serangan bunuh diri di Afghanistan

Serangan bom kereta di wilayah tengah Maidan Wardak turut membabitkan petugas pasukan khas Afghanistan.

Insiden pengeboman kereta bunuh diri berlaki 2 kali dalam tempoh 2 hari di Afghanistan. (Gambar Reuters)
KABUL:
Angka kematian dalam satu serangan bom kereta bunuh diri di wilayah tengah Maidan Wardak meningkat kepada 50 orang, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan seorang pegawai pada Isnin.

Sharifullah Hotak, seorang ahli majlis wilayah Maidan Wardak, memaklumkan media tempatan bahawa angka kematian — yang turut membabitkan petugas pasukan khas Afghanistan — meningkat kepada 50 orang.

Terdahulu, Nusrat Rahimi, timbalan jurucakap bagi Menteri Dalam Negeri, memaklumkan Anadolu bahawa serangan itu berlaku pada pukul 8 pagi waktu tempatan dan menyasarkan fasiliti Direktorat Keselamatan Nasional, yang merupakan agensi pengintipan negara.

Rahimi berkata pasukan keselamatan berjaya membunuh 2 anggota militan yang ingin melancarkan serangan bersenjata selepas pengeboman itu.

Jurucakap Taliban Zabihullah Mujahed mendakwa kumpulan itu bertanggungjawab melakukan serangan tersebut.

Wilayah Maidan Wardak terletak kurang 50 km (31 batu) di selatan ibu kota Kabul.

Ini adalah insiden pengeboman kereta bunuh diri ke-2 dalam tempoh 2 hari yang membuktikan terdapat peningkatan dalam serangan kumpulan Taliban di tengah-tengah proses damai yang terhenti.

Sehari sebelum itu, Taliban mengaku bertanggungjawab bagi satu pengeboman kereta serupa menyasarkan konvoi seorang gabenor di wilayah Logar yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 8 anggota pasukan keselamatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.