Manogaran rayu BN henti kenyataan rasis dalam PRK Cameron Highlands

Manogaran rayu BN henti kenyataan rasis dalam PRK Cameron Highlands

Tidak berbaloi untuk memecah-belahkan perpaduan rakyat semata-mata kerana terlampau ghairah untuk memenangi pilihan raya.

Calon PH bagi PRK Cameron Highlands, M Manogaran berkata, para pemimpin kanan BN perlu bersikap sederhana kerana mereka juga ada parti kaum India dan Cina sebagai parti komponen.
TANAH RATA:
Kempen pilihan raya yang singkat tidak sepatutnya digunakan untuk membangkitkan isu perkauman, tegas calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil Cameron Highlands, M Manogaran.

Menurut beliau, tidak berbaloi untuk memecah-belahkan perpaduan rakyat semata-mata kerana terlampau ghairah untuk memenangi pilihan raya.

“Untuk tujuan menang PRK ini jangan jadi ekstrem sebegitu rupa, janganlah main isu perkauman,” katanya kepada pemberita ketika menziarahi Kuil Sri Subramanier bersempena perayaan Thaipusam di Ringlet dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hassan ketika ceramahnya di Sungai Koyan semalam yang antara lain dilaporkan mendakwa Malaysia di bawah pentadbiran PH menyaksikan orang Melayu dan Islam diperlekehkan.

Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan dilapor menyifatkan DAP sebagai “musuh” yang “tiada perasaan belas ihsan terhadap orang Melayu dan agama Islam”.

Mengulas lanjut, Manogaran yang juga timbalan pengerusi DAP Pahang berkata, Mohamad sebagai seorang pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) sepatutnya menjadi contoh kepada semua masyarakat.

Katanya, isu yang dibangkitkan beliau adalah contoh yang sangat tidak elok kepada generasi muda, bagi sebuah negara berbilang bangsa.

“Saya menggesa para pemimpin kanan BN supaya bersikap sederhana kerana anda juga ada parti kaum India dan Cina sebagai parti komponen.

“Saya dengan rendah diri memohon supaya segera berhenti daripada memainkan isu perkauman,” katanya.

PRK Cameron Highlands diadakan berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya, November tahun lepas, membatalkan kemenangan calon BN, Datuk C Sivarraajh, dalam pilihan raya umum 9 Mei 2018 kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, selepas didapati memberi rasuah ketika berkempen.

PRK yang dijadualkan 26 Jan depan itu menyaksikan pertandingan 4 penjuru antara calon PH, M Manogaran; calon BN, Ramli Mohd Nor dan 2 calon bebas, Sallehuddin Ab Talib dan Wong Seng Wee.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.