Kerajaan digesa tidak jadi ‘budak-budak’, sebaliknya terus pertahan kebebasan bersuara

Kerajaan digesa tidak jadi ‘budak-budak’, sebaliknya terus pertahan kebebasan bersuara

Pemimpin PH dan ahli politik tidak boleh mengharapkan perlindungan istimewa daripada polis setiap kali mereka dimalukan.

Penasihat Suaram, Kua Kia Soong berkata, pemimpin PH sepatutnya memberi tumpuan bukan sahaja kepada usaha mempertahan kebebasan bersuara, malah meningkatkannya.
PETALING JAYA:
Aktivis menggesa Pakatan Harapan (PH) mempertingkatkan usaha mempertahankan kebebasan bersuara susulan siasatan terhadap pihak yang mengkritik pemimpin kerajaan dan keluarga mereka.

Bekas ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng umpamanya, disiasat polis selepas catatan Facebooknya mempersoalkan anak Menteri Kewangan Lim Guan Eng kerana memakai jaket Givenchy bernilai £887 (RM4,700).

Aktivis Zainnal Ajamain pula dilaporkan kepada polis berhubung status Facebooknya yang membandingkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal dengan bekas ketua menteri negeri itu, Tan Sri Musa Aman.

Penasihat Suaram, Kua Kia Soong berkata, ahli politik PH serta penyokong mereka perlu berhenti merengek seperti “budak-budak”, sebaliknya memberi tumpuan bukan sahaja kepada usaha mempertahankan kebebasan bersuara, malah mempertingkatkannya.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata, tidak ada sebab mengapa masyarakat tidak boleh mengkritik ahli politik.

Katanya, dalam kes Tan, tiada masalahnya beliau mempersoalkan pakaian ahli politik atau anak mereka. Sementara kritikan Zainnal terhadap Shafie juga merupakan komen “munasabah”.

“Kalau orang boleh komen mengenai pakaian Rosmah (Mansor), mengapa mereka tidak boleh komen mengenai anak Lim?

“Memang sesiapa juga berhak membuat laporan polis, tetapi saya tidak nampak kenapa polis perlu bertindak ke atas laporan begitu.” katanya.

Penasihat Lawyers for Liberty N Surendran berkata, tindakan menjadikan pengucapan satu perbuatan jenayah merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima.

Dalam kedua-dua kes tersebut katanya, saman malu boleh difailkan oleh mereka yang berasa dimalukan.

“Pemimpin PH dan ahli politik tidak boleh mengharapkan perlindungan istimewa daripada polis setiap kali mereka dimalukan.

“Saya terperanjat dengan (sikap) pemimpin ini yang membisu sewaktu polis menyiasat orang yang mengkritik mereka,” katanya.

Surendran, yang juga bekas ahli Parlimen berkata, perkara sama dilakukan oleh polis pada zaman pemerintahan Barisan Nasional terhadap musuh kerajaan.

“Menteri dalam negeri mesti mengarahkan polis supaya berhenti menggunakan undang-undang jenayah terhadap penentang dan pengkritik pemimpin PH,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.