Kembara 2 gadis ke India dengan RM1000

Kembara 2 gadis ke India dengan RM1000

FMT Ohsem berkongsi pengalaman pengembaraan begpack 2 gadis tempatan, Hurin dan Najwa selama 10 hari di India.

Berbeza daripada kebanyakan belia seusia yang memilih untuk ke Korea, Bali, Australia atau Eropah untuk melancong, Hurin Fatihin Hamzah, 27, dan sahabat baiknya Nurul Najwa Subri, 25 tahun memilih negara dunia ketiga, India sebagai destinasi pilihan.

Bukan percutian mewah, sebaliknya dua gadis ini memilih untuk kembara secara begpack bagi melihat keindahan India dengan lebih dekat.

Berbekalkan RM 1,000 seorang, 2 gadis muda ini mengembara ke 4 daerah di utara India.

19 November 2018, Hurin dan Nurul terbang ke India untuk percutian 10 hari bagi merealisasikan impian menjelajah negara itu dan melihat sendiri budaya serta kehidupan masyarakat di sana.

New Delhi merupakan tempat pertama yang dikunjungi sebagai pengembara bebas sebelum meneruskan perjalanan ke Kashmir. Kedua mereka mahu merasa sendiri pengalaman seperti dalam filem Bajrangi Baijan!

“Kami tinggal di ibu kota (New Delhi) selama 2 hari dan terbang ke Srinagar, Kashmir menaiki kapal terbang domestik yang mengambil masa satu jam setengah melalui lapangan terbang tempatan. Kashmir umpama syurga bumi! Ia sebuah tempat yang menyamankan dengan pemandangan gunung-ganang memukau.

“Ketika berada di sana, kami berdepan cuaca dingin memandangkan sudah masuk musim sejuk. Ia menambahkan lagi rasa teruja untuk melihat sendiri kecantikan alam selain belajar serba sedikit mengenai budaya masyarakatnya,” kata Najwa kepada FMT Ohsem.

Ditanya mengenai belanja, Hurin berkata mereka berdua mengambil pakej RM350 untuk 4 hari 3 malam termasuk penginapan, kenderaan, makan dan minum. Mereka tinggal di atas ‘boat house’ bersama keluarga tempatan di situ.

“Keluarga di Kashmir itu menerima dan melayan kami dengan baik. Mereka langsung tidak membeza-bezakan kami dan ia memudahkan kami menikmati percutian itu,” katanya.

Selain berkongsi pemandangan wilayah Kashmir yang cantik, kedua-dua gadis ini akui tertarik dengan kemesraan penduduk tempatan dan budaya masyarakat tersebut.

“Salji dan pemandangan boleh dilihat dalam gambar, tetapi mengenali orang tempatan adalah satu pengalaman yang akan kekal segar dalam ingatan selama-lamanya,” kata mereka berdua.

Apabila berada di Kashmir, Najwa berkata, destinasi wajib dilawati ialah Tanah Tinggi Gulmarg yang juga dikenali sebagai Meadow of Flowers. Menurut mereka kecantikan pemandangan di atas bukit itu sememangnya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Dari Srinagar, Najwa dan Hurin meneruskan perjalanan ke Jammu untuk mengambil keretapi ke Agra.

“Di India, perjalanan dari satu tempat ke tempat lain sangat jauh. Ia mengambil masa berjam-jam. Kami perlu mengambil kereta sewa ke Jammu selama 9 jam bersama penduduk sekitar untuk ke stesen keretapi. Sesampainya kami ke stesen, keretapi sudah bergerak.

“Kami rasa panik dan kami cuba mencari solusi. Dahlah harga untuk tiket tersebut RM150 seorang dan pada waktu itu kami rasa tidak selamat tidur di stesen memandangkan cuaca sejuk selain ramai lelaki asing.

Bagaimanapun, keluarga yang ditumpangi mereka ketika di Kashmir menyarankan kedua-dua mereka membeli tiket kelas biasa untuk meneruskan perjalanan. Natijahnya, mereka terpaksa berdiri 19 jam sepanjang perjalanan!

Pun begitu, mereka masih tidak rasa benar-benar selamat kerana gerabak itu dipenuhi lelaki. “Nasiblah kami bertemu dengan seorang pemuda yang menyarankan kami masuk ke gerabak tidur kosong kerana sangat bahaya untuk berdiri selama 19 jam bersama lelaki.

Malah, mereka juga tidak makan minum selama 33 jam.

“Apapun ia adalah pengalaman hidup yang tak dapat dilupakan. Sampai sahaja di Agra kami terus daftar masuk ke hotel untuk makan, bersihkan diri dan tidur,” ujar mereka.

Tarikan terbesar di Agra, tidak lain tidak bukan adalah Taj Mahal. Bangunan yang dibangunkan oleh Shah Jahan untuk menunjukkan rasa cinta kepada isterinya sentiasa dipenuhi pengunjung.

Selain itu, mereka turut melawat beberapa tempat seperti Agra Fort dan Baby Taj. Perjalanan diteruskan lagi ke destinasi terakhir, Jaipur dengan menaiki kereta api selama 2 jam.

Tambah Najwa, tiket penerbangan pulang ke Malaysia dari Jaipur lebih murah jadi mereka hanya membeli-belah di lokasi itu supaya tidak menyesal nanti.

“Kami tak sempat beli apa-apa jadi inilah tempat perhentian terakhir. Takkan melancong India tapi tak beli sari? Sari di Jaipur cantik dan datang dalam pelbagai warna yang menarik. Ia juga murah,” kata Hurin.

Pengalaman pengembaraan Hurin dan Najwa selama 10 hari di India mengajar mereka untuk meneruskan hidup tanpa mengira apa jua halangan dan cabaran yang menimpa.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.