
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, sebelum ini Barisan Nasional (BN) dituduh berbuat demikian setiap kali pilihan raya, tetapi PH kini dilihat bertindak di luar batasan dan lebih teruk.
“Saya sangat kesal sebab sebelum ini PH banyak menuduh BN menggunakan jentera kerajaan. Tetapi sekarang rakyat boleh lihat PH sendiri yang cakap tak serupa bikin.
“Ini menunjukkan tindakan PH menggunakan jentera kerajaan semakin bertambah. Sebenarnya mereka lebih teruk lagi,” katanya pada sidang media pada majlis ramah mesra bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Ruil, dekat sini, hari ini.
Khairy yang membantu kempen calon BN, Ramli Mohd Nor di situ mengulas gambar tular di media sosial sejak semalam menunjukkan jentera PH menggunakan kenderaan pacuan empat roda dipercayai milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan Perhutanan negeri Pahang.
Gambar tersebut menunjukkan beberapa kenderaan pacuan 4 roda yang mempunyai logo JAKOA, manakala sebuah lagi milik Jabatan Hutan negeri dibaluti dengan bendera PH.
Khairy Jamaluddin berkata, penyalahgunaan jentera kerajaan itu bukan kes pertama sepanjang kempen pilihan raya tersebut, dengan mendakwa perbuatan sama dilakukaan menteri PH yang mengunakan aset kerajaan.
“Ini tidak termasuk dengan lawatan oleh menteri PH sempena PRK Cameron Highlands dengan alasan ‘kebetulan’ atau ia dirancang ‘lebih awal’.
“Ini termasuklah tindakan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menggunakan jentera Angkatan Tentera Malaysia seperti helikopter masuk ke kawasan Cameron Highlands untuk berkempen,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak yang menjawab pertanyaan mengenai dakwaan penggunaan kenderaan milik kerajaan negeri dalam kempen PRK itu berkata, beliau telah mengarahkan supaya kenderaan tersebut diambil semula dengan serta-merta.

Menulis di laman Facebook miliknya, Sallehuddin berkata, beliau dihujani pertanyaan netizen berhubung perkara itu dan mengesahkan jabatan terbabit sebelum itu dibenarkan meminjamkan kenderaan kepada satu kementerian untuk kegunaan rasmi seorang timbalan menteri.
“Suka saya menjelaskan bahawa jabatan berkenaan dibenarkan meminjamkan kereta berkenaan kepada satu kementerian lain bagi kegunaan rasmi seorang timbalan menteri.
“Walau bagaimanapun, selepas dilekatkan dengan lambang satu parti, saya telah mengarahkan supaya kenderaan tersebut diambil semula serta-merta,” katanya.
Sallehuddin turut mengepilkan gambar kenderaan terbabit di laman Facebooknya itu.