“Creativity is just connecting things. When you ask creative people how they did something, they feel a little guilty because they didn’t really do it, they just saw something.”

— Steve Jobs
Ada orang kata menjadi kreatif ini adalah anugerah dan tak semua orang ada bakat itu. Sebenarnya kreativiti adalah skill yang boleh di pelajari dan diasah. Kreativiti adalah seperti ‘otot’ yang kita perlu ajar dan selalu digunakan untuk menjadi lebih kuat. Personaliti seperti Steve Jobs dan Elon Musk adalah antara nama-nama tersohor yang mempunyai kreativiti tanpa had. Sesetengah idea kreatif mereka seolah tidak tercapai dek akal manusia biasa.
FMT Ohsem menyenaraikan antara tips mudah yang boleh anda praktikkan bagi membangkitkan sisi kreatif anda. Mana tahu ia boleh jadi langkah permulaan untuk anda menyerlah.
1. Keluar dari ofis dan berjalan
Mental block? Cuba lakukan ini. Tutup telefon, keluar dari pejabat dan berjalan menikmati alam sekitar. Ia bukan sahaja dapat melegakan tekanan, tetapi juga dapat melegakan tubuh badan yang lesu akibat duduk di atas kerusi sepanjang hari. Cara ini membuka minda anda melihat perspektif selain dari skrin komputer dan telefon serta helaian kertas di atas meja.
2. Mulakan hari dengan aktiviti kreatif
Bangun tidur, terus capai telefon. Baru celik mata sudah mengadap Facebook, Instagram dan membaca berita. Rutin ini menjerat minda anda untuk berfikir idea-idea yang kreatif. Apa kata kita guna masa itu untuk memberi ‘ makan’ otak kita dengan sesuatu yang berguna. Lapangkan minda. Habiskan masa terluang dengan mendengar musik atau membuat senaman pagi. Meditasi selama 5 minit juga dapat membantu untuk reset dan rehatkan minda. Beri minda anda ruang untuk berehat dan dengan cara ini anda akan jadi lebih produktif sepanjang hari.
3. Kata-kata inspirasi
Penuhi ruang sekeliling anda dengan poster dan nota-nota inspirasi. Ada sesuatu yang sangat power bila kita membaca dan memahami kata-kata inspirasi seperti “Good artist copy, Great artist steal” atau “Failure will never overtake me if my determination to succeed is strong enough.” Cuba mulakan pagi anda dengan membaca kata-kata insipirasi sebagai sarapan minda. Minda yang segar akan mencetuskan idea-idea yang kreatif untuk dipraktikkan di tempat kerja.
4. Ubah kedudukan meja
Berada pada kedudukan yang sama sepanjang masa boleh menyebabkan idea susah nak mucul. Mengubah kedudukan meja adalah salah satu cara untuk memecahkan ketandusan idea. Boleh saja ubah kedudukan kerusi atau komputer jika peraturan ofis mengekang anda dari mengubah kedudukan meja. Perubahan tempat memberikan minda satu suntikan keseronokan yang boleh meningkatkan produktiviti kerja anda.
5. Pakai baju berwarna cerah
Jangan pandang ringan keupayaan warna untuk mencetus mood yang ceria dan juga meningkat produktiviti dan kreativiti anda ditempat kerja. Cuba pakai baju berwarna kuning atau biru muda. Jika tidak biasa dengan baju berwarna cerah, mulakan dengan menggunakan aksesori berwarna seperti tali leher, jam dan kasut. Keceriaan akan menambahkan produktiviti dan kreativiti di tempat kerja!
6. Jalankan mesyuarat/perbincangan dalam keadaan berdiri
Duduk selama satu jam sambil mendengar boss bercakap memang membosankan. Pecahkan rutin ini dengan mengadakan perbincangan sambil berdiri. Ini akan membuatkan semua yang hadir lebih aktif dan cergas. Dengan berdiri semua ahli yang hadir akan lebih peka dan mampu menyuarakan pandangan dengan lebih yakin. Idea-idea kreatif akan terhasil dengan penyertaan yang lebih positif.
Kunci untuk melepaskan kuasa kreatif anda adalah dengan memastikan semua perbuatan dan persekitaran anda sentiasa ‘segar’. Tolak rutin biasa dan sentiasa berusaha untuk mencuba perkara baru.