
Seorang pengundi, Masah Bakiman berkata PRK kali ini tiada lagi jamuan dan hadiah daripada ahli-ahli politik kerajaan dan pembangkang.
“Dulu mereka datang buat majlis makan-makan, bawa makanan dan sumbangan seperti beras, tapi kali ini tidak ada. Jadi kemeriahan untuk orang kampung sedikit suram” katanya ketika ditemui di Kampung Panggen, Ringlet.
Beliau bagaimanapun tidak menganggap ketiadaan habuan suatu masalah besar dan masih menyokong Barisan Nasional, gabungan yang memerintah Pahang tetapi menjadi pembangkang di peringkat persekutuan.
“Kami tidak kisah kempen kali ini tidak ada kenduri, sumbangan, habuan wang ringgit. Kami tetap sokong BN kerana banyak jasa mereka. Dari kami tidak ada apa-apa kepada ada kemudahan,” katanya.
Masah berkata orang kampung juga tidak tertanya mengapa BN kali ini tidak datang bersama bantuan, sumbangan dan makanan lazat.

“Orang bagi kita ambil, orang tak bagi tidak mengapa,” katanya.
Seorang lagi pengundi, Kamarudin Baskuban berkata masyarakat di situ masih bersama BN kerana mahukan “keamanan”.
“Kami ikhlas sokong BN. Kami terima kalau calon Pakatan Harapan datang, tapi kita akan kata tak (sokong),” katanya.
Tok batin ini sempat mengadu masalah yang membelenggu kampungnya kepada Ketua Penerangan Umno, Datuk Shamsul Anuar Nasarah yang datang beramah mesra. Lebih kurang 500 orang mendiami Kampung Panggen.
Kamarudin memaklumkan anak-anak orang kampungnya berdepan masalah pengangkutan ke sekolah, yang terletak jauh dari rumah mereka.
“Kami juga ada masalah dengan elektrik, air tekanan rendah. Air tak sampai ke rumah,” katanya.
Sedikit mencabar
Sementara itu, Shamsul akui kempen kali ini sedikit mencabar kerana larangan mengadakan jamuan dan sumbangan semasa berpilihan raya.
“Apa lagi kita kali ini, walaupun Pahang masih dikuasai BN tapi PH berada di pusat,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata BN mengemukakan strategi tersendiri dan optimis dapat mengekalkan kerusi itu daripada pencabar mereka.
“Penyokong kita faham. Mereka tidak fikir soal imbuhan tetapi hanya mahu kekalkan kemenangan BN,” katanya.
Ditanya mengenai aduan orang kampung, Shamsul berkata masalah mereka akan disampaikan kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut.