
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata PDC hanya diletakkan bawah satu kementerian yang berperanan untuk memantau pengoperasian dan bukan mengambil alih pentadbiran sepenuhnya.
“Sebenarnya itu bukan ‘take over’. Cuma kementerian diberi tanggungjawab. Dalam kes ini, kementerian hanya memantau prestasi, bukan ambil alih,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian stesen Bukit Bendera hari ini.
“Harus diingatkan PDC seperti Perbadanan Bukit Bendera diluluskan mengikut undang-undang. Ada undang-undang mengawal pengoperasian dan peranan perbadanan.”
Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong dalam kenyataan hari ini menyifatkan kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa kerana membenarkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengambil alih PDC.
Oh berkata tindakan itu menunjukkan kerajaan negeri seolah-olah mengabaikan kepentingan rakyat negeri itu.
Ditanya sama ada pihaknya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu, Chow yang juga pengerusi PDC berkata pihaknya belum menerima apa-apa makluman sebaliknya hanya mengetahui perkara itu menerusi media.
PDC yang ditubuhkan pada 17 November 1969 adalah agensi pembangunan kerajaan Pulau Pinang yang bertanggungjawab untuk menerajui pertumbuhan sosio-ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kualiti hidup penduduk Pulau Pinang.