Mahkamah tetap inkues punca kematian Muhammad Adib bermula bulan depan

Mahkamah tetap inkues punca kematian Muhammad Adib bermula bulan depan

Enam pakar antara 30 saksi akan beri keterangan.

Nama Muhammad Adib diabadikan di memorial Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
SHAH ALAM:
30 saksi dijangka memberi keterangan apabila inkues ke atas punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim bermula pada 11 Feb depan.

Pegawai pelaksana Hamdan Hamzah memberitahu perkara tersebut kepada koroner, Rofiah Mohamad semasa sesi pengurusan kes di sini hari ini, dan berkata, 6 daripada mereka merupakan saksi pakar.

Rofiah kemudiannya menetapkan pendengaran kes akan bermula pada 11 hingga 28 Feb, 1 hingga 5 Mac, 19 hingga 29 Mac dan 1 hingga 12 Apr depan.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) diberikan kebenaran sebagai pemerhati dalam prosiding tersebut.

Satu pasukan peguam 5 anggota diketuai Mohd Kamaruzaman A Wahab akan menjadi peguam pemerhati bagi pihak keluarga Adib.

Dalam pada itu, koroner akan menentukan sama ada Majlis Peguam dan pasukan petugas kuil Sri Maha Mariamman boleh mengambil bahagian dalam prosiding tersebut sebagai pihak yang berkepentingan pada 31 Jan ini.

Pejabat Peguam Negara telah memfailkan dokumen kes di Pejabat Pendaftar Komplek Mahkamah Shah Alam bulan lepas.

Pada 27 Dis, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu tulisan di laman Facebook beliau berkata, satu inkues akan diadakan bagi menentukan punca kematian Adib semasa rusuhan di sebuah kuil Hindu di Selangor akhir Nov tahun lepas.

Beliau berkata, Peguam Negara Tommy Thomas, atas kedudukannya sebagai pendakwa raya, akan mengarahkan seorang majistret melakukan inkuiri itu di bawah Seksyen 339 (1) Kanun Acara Jenayah.

Muhyiddin berkata, majistret yang mengendalikan inkues itu mempunyai kuasa luas di bawah Seksyen 328 Kanun Acara Jenayah bagi menentukan punca kematian.

Seksyen itu menyebut “perkataaan ‘punca kematian’ merangkumi bukan sahaja punca kematian yang jelas, dan boleh ditentukan melalui pemeriksaan atau bedah siasat pascanilai ke atas mayat si mati, tetapi juga semua perkara perlu bagi membolehkan satu pendapat dirumuskan tentang cara bagaimana si mati menemui ajalnya dan sama ada kematiannya disebabkan oleh apa-apa cara atau dipercepatkan oleh apa-apa perbuatan atau tinggalan salah oleh mana-mana orang”.

Adib, 24, dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya cedera parah berhampiran kuil Sri Maha Mariamman Seafield di USJ 25, Subang Jaya pada awal pagi 27 Nov ketika cuba memadamkan sebuah kereta yang terbakar semasa rusuhan yang tercetus susulan isu pemindahan rumah ibadat itu.

Beliau meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) 3 minggu kemudian pada 17 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.