Musa kecewa tak dapat teruskan rawatan walaupun beri kerjasama

Musa kecewa tak dapat teruskan rawatan walaupun beri kerjasama

Musa Aman menghormati keputusan mahkamah walaupun percaya mana-mana orang patut berhak mendapatkan rawatan selagi tidak mengganggu prosiding mahkamah.

Tan Sri Musa Aman.
PETALING JAYA:
Tan Sri Musa Aman kecewa tidak dapat meneruskan rawatan selepas sepenuh kerjasama diberi kepada pihak berkuasa, apabila mahkamah ketepikan perintah yang akan membolehkan dia menemui doktornya di luar negara.

Bekas ketua menteri Sabah itu berkata dia perlu menghormati keputusan mahkamah hari ini, walaupun dia percaya mana-mana orang patut berhak mendapatkan rawatan selagi tidak mengganggu prosiding mahkamah.

“Dalam hal ini, saya merasakan saya telah dianggap bersalah sehingga terbukti sebaliknya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan rawatannya di United Kingdom tahun lepas sebenarnya susulan kepada rawatan oleh doktor pilihannya di Singapura yang sudah 22 tahun merawatnya.

Musa berkata Mahkamah Sesyen yang memerintahkan pasport diberi kepadanya faham akan merit permintaan itu, tetapi ditolak Mahkamah Tinggi selepas semakan.

“Pastinya ini tidak patut dan tidak boleh menjadi pendirian yang betul,” katanya.

Musa menegaskan dia sentiasa berpegang pada kedaulatan undang-undang, seperti yang ditunjukkan pada Ogos 2018 dengan kepulangannya ke tanahair untuk membantu siasatan terhadap dirinya, meskipun bertentangan dengan nasihat doktor.

“Isu melarikan diri atau mengelak daripada pihak berkuasa tidak timbul sama sekali,” katanya.

“Jelas sekali, saya bukan seseorang yang berisiko melarikan diri.”

Musa berkata dia mempunyai sebab-sebab yang berasas untuk meneruskan rawatan yang tertangguh kerana kepulangannya ke tanah air.

Bekas ketua menteri itu berkata dia perlu memaklumkan doktornya di United Kingdom dan Singapura akan perkembangan terbaru ini dan mendapatkan nasihat mereka.

“Saya menghormati keputusan mahkamah tetapi saya kecewa dengannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.