MSN: Bukan menteri, tapi Irfan tak mahu Petrovic jadi jurulatihnya

MSN: Bukan menteri, tapi Irfan tak mahu Petrovic jadi jurulatihnya

Ketua pengarah MSN berkata, Muhammad Irfan Shamsuddin meminta MSN tidak menyambung kontrak Frantisek Petrovic kerana atlet lempar cakera itu merasakan terlalu lama menggunakan khidmat jurulatih sama.

Muhammad Irfan Shamsuddin turut mendakwa KBS, MSN, KOM, ISN dan MOM tidak adil serta rasional kerana enggan membiayai program latihannya di Prague, Republik Czech dan Turki selama 85 hari. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini berkata, Muhammad Irfan Shamsuddin yang tidak mahu menggunakan khidmat Frantisek Petrovic, bukannya menteri belia dan sukan menamatkan kontrak jurulatih peribadi itu dan menyekat peruntukan latihan luar negara bagi atlet lempar cakera itu.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, MSN tidak menawarkan kontrak baru kepada Frantisek Petrovic berdasarkan keputusan Jawatankuasa Pemilihan Atlet dan Jurulatih pada 5 Disember lalu.

“(Ia) atas permintaan Irfan sendiri yang merasakan beliau terlalu lama menggunakan khidmat jurulatih sama, tetapi kerana tidak mahu mengecilkan hati jurulatih tersebut, Irfan meminta MSN mengambil tindakan tersebut.

“Ini boleh dilihat dengan usaha Irfan pergi sendiri ke Eropah November tahun lalu bagi mencari calon jurulatih baru. Kalau beliau tidak setuju dengan keputusan MSN tidak melanjutkan khidmat jurulatih peribadi beliau, kenapa beliau sanggup mengeluarkan belanja sendiri mencari pengganti?

“MSN dan KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) mencadangkan Irfan berlatih dengan jurulatih luar negara sedia ada, iaitu Cik Gu Yuan, jurulatih acara lontaran dari China bersama atlet lontaran lain, tetapi tidak dipersetujui Irfan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Irfan yang pernah dinobatkan olahragawan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) pada 2017, meluahkan rasa tidak puas hati di Instagramnya dan menuduh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terbabit dalam menamatkan kontrak jurulatihnya serta memotong peruntukan latihan luar negara.

“Sekarang ini situasinya adalah saya tidak mempunyai jurulatih dan hendak pergi ke kem latihan, tetapi tidak ada bajet walaupun tiket penerbangan saya sudah beli. Boleh saya tanya soalan, anda suruh atlet hasilkan keputusan, tetapi anda tamatkan kontrak jurulatih saya,” soalnya kepada Syed Saddiq.

“Ketika ini, saya mempunyai jurulatih baru dengan membayarnya menggunakan wang saya sendiri. Jadi, sekarang ini anda beritahu saya, saya tidak mempunyai jurulatih dan perancangan saya untuk berlatih di luar negara tidak diluluskan.”

Shapawi turut menjelaskan dakwaan Irfan yang KBS, MSN, KOM, Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak adil dan rasional kerana enggan membiayai program latihan di Prague, Republik Czech dan Antalya, Turki, selama 85 hari bermula 23 Januari hingga 17 April depan.

“Jawatankuasa kerja mengambil kira pandangan KOM supaya cadangan Irfan untuk berlatih di luar negara ketika ini perlu diteliti (kerana musim sejuk) dan dibincangkan semula dengan ketua jurulatih olimpik kebangsaan, khususnya mengenai ketiadaan maklumat lengkap tentang pusat latihan yang akan digunakan.

“Tidak ada program terperinci dari segi skop latihan dan jurulatih yang akan mengendalikan latihan, khidmat sokongan sains dan perubatan sukan yang akan diperolehinya. Bahkan tidak ada surat rasmi dari Republik Czech dan Antalya, Turki sama ada persatuan atau kelab olahraga yang menyatakan persetujuan menerima Irfan sebagai pelatih di sana.

“Apa yang dikemukakan Irfan hanyalah sehelai kertas yang mengandungi keperluan kewangan yang dipohon daripada MSN, KOM dan juga maklumat ringkas berkenaan calon jurulatih Imrich Bugar. Irfan juga menggesa MSN dan KOM menerima cadangan calon jurulatih beliau dengan kadar segera,” katanya.

Shapawi berkata, beliau sudah menghantar pesanan ringkas kepada Irfan selepas mesyuarat jawatankuasa kerja untuk berbincang semula dengan KOM dan ia sudah berhubung dengan Irfan untuk rundingan semula.

“Malangnya, belum berbincang lagi, Irfan membuat tuduhan melulu tersebut dan lebih mengecewakan tuduhan tersebut ditujukan kepada Syed Saddiq yang selama ini berusaha kuat bagi mendapatkan peruntukan dan keyakinan kerajaan dan swasta membantu pembangunan sukan negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.