Hanya ‘troll’ saya boleh kritik kerajaan PH, kata Najib

Hanya ‘troll’ saya boleh kritik kerajaan PH, kata Najib

Najib berkata sebagai pembangkang beliau tidak lagi mendapat layanan daripada media arus perdana.

Najib Razak dikerumun media ketika mengadakan sesi ramah mesra dengan penduduk di Cameron Highlands.
CAMERON HIGHLANDS:
Hanya dengan melakukan “troll”, Datuk Seri Najib Razak dapat mengkritik kelemahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib berkata sebagai pembangkang, ia cara paling mudah untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat kerana beliau tidak lagi mendapat layanan daripada media arus perdana.

“Itu peranan bila jadi pembangkang, media arus perdana tidak bagi tempat pada saya macam dulu. Banyak cerita kena cantas, tapi saya gunakan ‘online’, itu cara saya boleh sampaikan mesej pada rakyat.

“Dalam demokrasi, berhak dapat pandangan yang berbeza. Apa yang saya buat, saya sokong dengan fakta dengan angka yang sebenar. Banyak juga ‘posting’ saya tidak terjawab dari menteri PH sebab apa yang saya buat itu menangkis pendapat mereka.

“Ia adalah berasaskan kod kenyataan yang disokong dengan fakta sebenarnya. Saya tidak buat rekaan, saya pegang pada prinsip walaupun mereka tak setuju, saya tetap nyatakan sesuatu demi rakyat,” katanya kepada media selepas sesi ramah mesra bersama penduduk Kampung Raja, Cameron Highlands hari ini.

Dalam perkembangan yang saman, Najib turut menyindir PH, apabila memaklumkan beliau hadir ke Cameron Highlands untuk mencari kaunter penebusan wang petrol parti itu.

“Mereka nampaknya lebih berduit, sepanduk lebih banyak daripada Barisan Nasional (BN). Saya pun tercari-cari kaunter ‘claim’ duit minyak di mana.

“Saya nak cari dalam sehari 2 di sini, saya nak ‘claim’ duit tambang sedikitlah daripada PH,” katanya.

Sebelum ini, kempen PRK Cameron Highlands dicemari kontroversi pengagihan wang oleh seorang wanita berbaju PH kepada sukarelawannya.

PH menegaskan wang diagihkan dalam gambar tular di media sosial itu merupakan pembayaran balik kos petrol kepada sukarelawan yang datang dari kawasan pedalaman.

Mengulas mengenai calon BN, Najib berkata, Ramli Mohd Nor merupakan tokoh paling sesuai mewakili penduduk di Cameron Highlands.

“Saya harap Ramli akan muncul sebagai lambang kebanggaan masyarakat Orang Asli dan Cameron Highlands keseluruhannya.

“Kalau cinta kepada orang tempatan yang boleh kita ketengahkan di Parlimen, maka Ramli calon paling tepat dan sesuai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.