
Bekas ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng berkata beliau sedia berdepan sebarang saman sivil difailkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, tetapi membantah tindakan polis terhadapnya.
Tan sebelum ini mempertikaikan anak Lim memakai jaket berjenama dalam cuaca panas, sedangkan akar umbi DAP sibuk menjual buletin parti, The Rocket.
Hari ini, Tan menyifatkan “pelik” polis menyiasat kes yang didakwa membabitkan kenyataan fitnah.
Katanya, isu itu boleh diselesaikan melalui saman sivil.
“Bagaimana polis boleh terbabit dalam perkara seperti ini? Ini jelas kes penyalahgunaan kuasa polis yang bertindak dalam perkara yang boleh diselesaikan melalui saman sivil,” katanya kepada FMT.
Tan juga tidak bersetuju dengan cadangan seorang peguam yang polis menyiasatnya di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan bagi fitnah jenayah.
Katanya, fitnah jenayah biasanya membabitkan kes jenayah yang dibawakan kerajaan terhadap seorang individu.
Lim berkongsi sekeping gambar Lim dan keluarganya menaiki pesawat ke Australia. Pengguna media sosial kemudiannya memuji Lim memilih kelas ekonomi.
Dalam gambar itu, anak Lim dilihat memakai apa yang kelihatan seperti jaket Givenchy.
Ia disertakan satu tangkap layar daripada kedai atas talian menjual pakaian berjenama yang meletakkan harga jaket Givenchy pada £1,180 (RM6,200). Bagaimanapun, tidak diketahui jika jaket dipakai anak Lim sebenarnya berjenama Givenchy.
Terdahulu, peguam SN Nair dilaporkan berkata, catatan Tan mungkin fitnah yang bermaksud sindiran kerana beliau “membayang dan mengatakan” anak Lim memakai jaket berjenama mahal, ketika Lim dan keluarganya memilih kelas ekonomi.
Katanya, ini boleh menimbulkan persepsi umum yang Lim terbabit dalam “sandiwara politik” dan berlagak.
Bagaimanapun, peguam lain berkata, tindakan polis ialah satu penghinaan terhadap kebebasan bersuara.