
Berita Harian melaporkan mereka mengambil keputusan itu kerana menerima tekanan undang-undang berikutan tindakan saman terhadap mereka yang dibuat akhir Disember lalu.
Menurut sumber parti, keenam-enam ahli Parlimen itu sudah mengadakan perbincangan dengan Pemangku Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Jemaah Penasihat parti, Tengku Razaleigh Hamzah.
“Mereka sudah pun menyerahkan permohonan menjadi ahli parti kepada ibu pejabat minggu lalu,” memetik kata sumber.
Disember lalu, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan 6 ahli Parlimen Umno keluar dari parti itu menerusi surat pemakluman yang dihantar ke Ibu Pejabat Umno.
Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.
Selain itu, Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Rosol ketika dihubungi FMT menyatakan minat untuk terus berjuang kepada rakyat di kawasannya di bawah PPBM.