
Presiden MMA, Dr Mohamed Namazie Ibrahim berkata waktu kerja dalam garis panduan semasa adalah adil untuk doktor pelatih dan melindungi mereka.
“Doktor pelatih masih dalam latihan dan sebahagian daripada latihan itu adalah untuk berdaya tahan,” katanya kepada FMT.
“Bagaimanapun, adalah penting bagi penyelia untuk menyediakan jadual waktu yang adil supaya tidak ada doktor pelatih menghabiskan lebih banyak waktu latihan yang dibenarkan di dalam garis panduan yang ditetapkan.”
Sebelum ini, media memetik doktor berkata doktor pelatih bekerja lebih 80 jam seminggu walaupun mereka dikehendaki bekerja 65 jam seminggu, dengan 1 hari cuti dan 2 waktu kerja.
Waktu kerja pertama adalah daripada 7.00 pagi hingga 7.00 malam (12 jam) dan 1 lagi waktu kerja iaitu 7.00 pagi hingga 10.00 malam (15 jam).
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, doktor pelatih yang bekerja lebih daripada 65 jam seminggu merupakan kes terpencil.
Namazie akui semua doktor mempunyai waktu kerja yang panjang kerana komitmen kepada kesejahteraan pesakit bawah jagaan mereka.
Namun begitu, para doktor yang merasakan mereka tidak dilayan dengan adil boleh menghubungi saluran aduan HELPDOC yang disediakan MMA.
“Kami telah menerima aduan sebelum ini dan telah bertindak untuk menyelesaikan aduan sebenar. Sesetengah aduan yang didapati adalah tidak benar apabila disiasat,” katanya.