
“Kami akan melantik peguam atas dasar pro bono untuk hukuman yang lebih ringan sebelum hukuman dijatuhkan,” kata Leong kepada FMT.
Semalam, remaja terbabit yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh.
Tertuduh yang identitinya tidak dapat didedahkan di bawah Akta Kanak-kanak, didakwa melakukan persetubuhan dengan kakak kandungnya di rumah mereka pada Disember 2017 hingga Mei 2018.
Hubungan itu menyebabkan kakaknya melahirkan seorang bayi perempuan di dalam tandas rumah mereka pada 15 Dis lepas. Tertuduh ditahan di rumah itu pada hari yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum 30 tahun dan sebatan.
Leong berkata mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Feb ini untuk menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Beliau yang juga peguam, berkata siasatan polis menunjukkan mangsa dan kakaknya melakukan hubungan seks beberapa kali.
Leong juga bertemu dengan ibu bapa tertuduh bulan lepas untuk mendapatkan butiran mengenai kejadian itu, termasuk membincangkan masa depan bayi tersebut.
“Apa yang boleh saya katakan kejadian itu berlaku kerana adik-beradik itu terdedah kepada bahan lucah melalui telefon bimbit dan media sosial,” katanya, sambil menambah bayi itu akan diserahkan kepada pihak lain sebagai anak angkat.
Leong menambah, ibu bapa perlu memantau aktiviti anak-anak remaja mereka “pada fasa kehidupan mereka yang sentiasa berubah.”
Sementara itu, aktivis hak asasi kanak-kanak dan peguam, Sharmila Sekaran berkata kerajaan tidak sepatutnya bertangguh dalam memperkenalkan pendidikan seks di sekolah bagi mencegah kejadian seperti itu.
“Ia adalah subjek bagaimana cara mengendalikan diri mereka dan tidak mengajar mereka melakukan hubungan seks,” katanya.
Peguam jenayah, Salim Bashir berkata memandangkan remaja lelaki itu berusia bawah 18 tahun, hukuman penjara di bawah Akta Kanak-kanak diguna pakai terhadapnya.
Di bawah Seksyen 91, katanya, kanak-kanak yang bersalah boleh dihukum dengan pelbagai hukuman termasuk hukuman penjara oleh hakim Mahkamah Sesyen.
“Pesalah boleh dihantar ke sekolah yang diluluskan untuk pemulihan,” katanya.
Beliau berkata kanak-kanak itu juga boleh disebat sehingga 10 sebatan dengan rotan ringan di mahkamah di hadapan ibu bapa atau penjaganya.
Salim berkata Seksyen 96 (2) Akta Kanak-kanak membenarkan pesalah yang berusia 14 tahun ke atas dihantar ke penjara tetapi tidak dibenarkan bergaul dengan tahanan dewasa.