
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching merujuk muka surat dalam buku teks itu yang menunjukkan ibu bapa kepada watak rekaan, Amira, menasihatkan anak perempuan mereka “cara menjaga kehormatan anggota seksual (bahagian sulit)” dan “menyelamatkan maruahnya” menerusi 3 cara.
Teo memberitahu FMT, mangsa gangguan dan penderaan seksual tidak sepatutnya dipersalahkan seperti dalam buku teks itu.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu bapa yang mengutarakan perkara ini untuk perhatian saya.
“Diharap sama-sama kita boleh memberikan pendidikan yang betul kepada anak-anak kita.”
Buku teks itu mencadangkan gadis sentiasa memakai pakaian sopan, menutup pintu bilik ketika menyalin pakaian dan mengelak berjalan di tempat sunyi bersendirian.
Menurut buku itu, jika Amira gagal “menjaga kehormatan bahagian sulitnya”, maruah keluarganya akan tercalar, tidak disukai rakan dan beliau mendapat malu serta emosi terganggu.
Ketua Pengarah Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib yang memuat naik tangkap layar muka surat itu ke Twitternya pagi tadi membidaskan buku teks itu mewajarkan tindakan “menyalahkan gadis sebagai mangsa”.
Catatan itu mendapat reaksi pengguna media sosial dengan ada yang berkata, kandungan buku teks itu akan menyebabkan kanak-kanak takut melaporkan sebarang gangguan atau penderaan seksual ke atas mereka.