
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata kadar denda sekarang sebanyak RM300 tidak dapat menghentikan gejala itu.
“Sekali kena pun RM300, 2 kali kena pun RM300,” katanya kepada pemberita di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini.
Zuraida berkata kadar baru itu sebahagian daripada tindakan lebih tegas terhadap pengeluar plastik haram domestik.
Beliau berkata demikian selepas bertemu lebih 10 pemegang taruh dan aktivisi alam sekitar membincangkan masalah pembuangan plastik secara haram.
Statistik Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) menunjukkan industri plastik tempatan menjana nilai ekonomi RM30 bilion setahun dan RM600 bilion seluruh dunia, satu prospek yang besar jika dimanfaatkan oleh pemain industri tempatan.
Zuraida berkata pemantauan kemasukan plastik bagaimanapun masih lemah, dan kementerian akan membantu kastam mengenal pasti jenis-jenis plastik yang dibenarkan.
Sementara itu, kerajaan sedang memburu kilang-kilang plastik haram dan usaha itu memerlukan kerjasama kerajaan negeri.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Alam Sekitar, Fenny Wong berkata, kerajaan menyasarkan sebanyak 100 syarikat haram ditutup dalam masa 3 bulan. Operasi itu bermula 8 Januari lalu.
Pertemuan hari ini hangat selepas wakil aktivis alam sekitar mempersoalkan tindak tanduk kerajaan dalam menangani lambakan plastik khususnya di Hulu Langat yang masih belum selesai.
“Polisi sudah ada, undang-undang juga ada. Tapi penguatkuasaan tiada. Bukan baru sekali aduan dibuat, sudah banyak kali,” kata Pengerusi Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat, Tan Ching Hin.
Zuraida memberi jaminan Hulu Langat akan diberi keutamaan dan pemantauan secara berterusan akan dibuat olehnya sendiri.
“Kalau saya tak sempat, pegawai-pegawai saya boleh pergi ke lapangan,” katanya.