
Beliau berkata MyPPP hanya sekadar “boneka” dan parti itu diperguna oleh BN.
“Saya tolong BN tanpa apa-apa balasan, lama saya setia dengan BN tapi pada saat akhir kita lihat BN tidak setia kepada kita.
“Ini adalah kesetiaan sebelah pihak, saya jadi hiasan sahaja. Lama baru kami sedar kami diperguna sepenuhnya oleh 3 parti besar dalam BN.
“Untuk sekian lama kami tidak lebih daripada ‘hiasan pentas’. Setiap kali ada apa-apa majlis besar, saya sebagai presiden akan naik pentas bersama pimpinan BN lain untuk ‘mencantikkan’ BN.”,” katanya ketika diwawancara FMT.
Kini katanya, beliau lega selepas meninggalkan BN yang selama ini didakwanya gagal menghargai jasa parti itu selama puluhan tahun.
Kayveas mendakwa MyPPP langsung tidak dipanggil oleh Datuk Seri Najib Razak selaku pengerusi BN ketika itu untuk membincangkan agihan kerusi Parlimen untuk ditandingi.
“Tidak ada panggilan mesyuarat untuk agihan kerusi, kami sepatutnya mendapat 5 kerusi Parlimen.
“Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor masih ada, boleh tanya mereka, bila kami dipanggil untuk mesyuarat itu,” katanya.
Jelasnya, semasa era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, MyPPP dipanggil mesyuarat pada 1995 dan 1999. Begitu juga semasa era Tun Abdullah Ahmad Badawi, ia dipanggil mesyuarat pada 2004 dan 2008.
Bagaimanapun, katanya, Najib hanya mengadakan pertemuan pada 2013, tetapi bukan pada 2018, menyebabkan tiada sesiapa yang tahu bagaimana kerusi diagihkan.
“MyPPP diabaikan sepenuhnya,” katanya sambil memaklumkan keadaan itu menyebabkan ahli MyPPP kebingungan.
Kayveas berkata, beliau meminta 5 kerusi kerana mengambil kira parti itu sudah lama berkhidmat di DUN Pasir Bedamar di Perak, DUN Ghucil (Kelantan), Parlimen Kepong (Wilayah Persekutuan), Bukit Katil (Melaka) dan Cameron Hinghlands (Pahang).
Sebaliknya, Kayveas berkata, MyPPP hanya ditawarkan 1 kerusi di Segambut yang sukar dimenangi BN.
Beliau menambah, sebaik sahaja Parlimen dibubarkan pada 7 April 2018, beliau menulis surat kepada Najib, merayu agar BN memberi laluan kepada parti itu bertanding hanya 1 kerusi di Cameron Highlands.
“Apabila saya menulis surat memohon supaya MyPPP diberi kerusi Cameron Highlands, saya dituduh pentingkan diri,” katanya.
BN rasis dan angkuh
Kayveas juga berkata, BN masih dalam kepompong lama dengan bersifat rasis dan angkuh.
“Dan percayalah, keangkuhan mereka juga punca kekalahan besar, ini bukan sesuatu yang saya baru cakap sebaliknya sejak dulu lagi.
“Jika benar mereka mahu calon ‘winnable’ dan dekat dengan masyarakat selain daripada bekerja untuk jangka masa lama, mengapa permintaan dan cadangan kita masih diabaikan? Saya berada dan bekerja di sini bukan semalam atau kelmarin, sebaliknya sejak tahun 1999,” katanya merujuk khidmatnya di Cameron Highlands.
Terdahulu, Kavyeas membuat kejutan apabila menarik diri daripada bertanding dalam PRK Parlimen Cameron Highlands di saat-saat akhir.
Keputusan beliau menarik diri juga berkait rapat dengan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membatalkan pendaftaran parti itu.
Kayveas berkata, jika MyPPP kekal dalam BN berkemungkinan besar mereka bukan sahaja akan dibuli malah BN akan terus mengkhianati kesetiaan mereka.
“Anda tahu mengapa parti yang sudah berusia lebih 65 tahun ini mahu dibatalkan pendaftarannya? Kerana apabila saya melahirkan hasrat adalah lebih baik keluar sahaja dari BN sebelum PRU14 lagi, ianya tidak disenangi sebenarnya.
“Sebenarnya saya dipanggil dan dipujuk dengan pelbagai ‘ajakan serta manfaat’, tapi apakah gunanya jika perangai dan sikap mereka dalam BN tidak berubah?
“Kerana itu juga mereka pergunakan segelintir dalam parti untuk pecah belahkan keharmonian kami, itu sahaja. Saya juga tidak berniat untuk melompat dan menyokong PH, kerana mana-mana parti pemerintah kami sokong itu prinsip kami.
“Akhirnya, yang berkuasa itu yang akan membawa manfaat kepada rakyat dan hakikatnya itu yang kita hendak bukan begitu, itu yang saya buat tapi dituduh macam-macam sampai kononnya saya telah dibeli, sudahlah,” katanya.
Berang dengan ahli MyPPP
Beliau menambah, beliau berang dengan segelintir pemimpin MyPPP yang berkomplot dengan beberapa pimpinan dalam parti yang tamak sehingga membawa kehancuran kepada parti.
“Kini saya terpaksa ‘membersihkan’ kekotoran yang tertinggal ini, apatah lagi kini parti sudah berdepan dengan pembatalan pendaftaran oleh JPPM. Tidak apa, saya akan berjuang habis-habisan untuk selamatkan MyPPP.
“Sebenarnya saya sudah bosan, ini bukan soal secara tiba-tiba saya membuat pusingan U dengan menyokong kepimpinan Pakatan Harapan, sebaliknya memang secara prinsipnya kita sokong kerajaan parti pemerintah. Itu sahaja.”