
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, ini kerana bekerja lebih masa bukan selalu berlaku.
“(Sebagai contoh) ada sesetengah doktor mengambil cuti sakit atau cuti perayaan semasa keadaan kecemasan, jadi kekurangan (doktor) itu biasa berlaku di mana-mana organisasi.
“Kalau ada berlaku sekali 2 itu (kerja lebih masa) perkara biasa,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas akhbar The Sun yang melaporkan doktor pelatih bekerja lebih masa.
Laporan itu yang memetik doktor bernama Isa (bukan nama sebenar) berkata, doktor pelatih dikehendaki bekerja 65 jam seminggu dengan 2 waktu kerja dan 1 hari cuti.
Waktu kerja pertama adalah daripada 7.00 pagi hingga 7.00 malam (12 jam) dan 1 lagi waktu kerja iaitu 7.00 pagi hingga 10.00 malam (15 jam).
Bagaimanapun, Isa berkata mereka terpaksa bekerja lebih 80 jam seminggu.
Lee berkata, pihak kementerian menetapkan beberapa garis panduan melibatkan jadual kerja untuk doktor pelatih.
“Pertama, jumlah jam tidak melebihi daripada 65 jam seminggu. Kedua, setiap waktu kerja tidak melebihi daripada 16 jam.
“Sekiranya kerja malam, mereka diberikan kelepasan 1 hari selepas kerja waktu malam. Ini garis panduan kita berikan kepada ketua jabatan berhubung jadual waktu kerja untuk doktor pelatih,” katanya.
Beliau menambah, sekiranya terdapat kes yang “keluar” daripada garis panduan terbabit, doktor pelatih perlu melaporkan kepada timbalan pengarah, pengarah, timbalan menteri atau menteri kesihatan berkaitan perkara itu.
“Kalau ada masalah boleh hubungi saya, menteri, ketua pengarah atau timbalan ketua pengarah dan kita boleh buat siasatan,” katanya.