
Keputusan itu dibuat selepas Majlis Syura kerajaan menyaksikan undian 2/3 daripada badan penasihat itu bersetuju dengan peraturan baru tersebut.
Perkahwinan kanak-kanak adalah perkara biasa di dunia Arab, dengan 1 daripada 7 kanak-kanak berkahwin sebelum berumur 18.
Bagaimanapun, peraturan baru itu mempunyai kelemahan apabila remaja di bawah umur 18 boleh berkahwin jika mendapat kebenaran dari mahkamah khusus.
“Perlu ada larangan penuh terhadap perkahwinan kanak-kanak, tanpa pengecualian. Anda harus menjelaskan kepada masyarakat bahawa ia adalah fenomena sosial yang negatif dan harus dihentikan,” kata Adam Coogle, penyelidik Human Rights Watch di Timur Tengah.
Sebelum ini, Arab Saudi yang mengamalkan Islam ultra konservatif itu tidak mempunyai penetapan undang-undang bagi perkahwinan bawah umur.
“Tidak ada had umur perkahwinan kanak-kanak sebelum ini, jadi undang-undang ini diluluskan dan larangan perkahwinan kanak-kanak di bawah 15 tahun adalah pencapaian besar kerana anda akan melindungi kanak-kanak lelaki dan perempuan,” kata seorang ahli majlis kepada Yayasan Thomson Reuters.
Terdahulu, Majlis agama Islam Thailand buat pertama kalinya mengeluarkan arahan melarang perkahwinan kanak-kanak Islam bawah 17 tahun berikutan kemarahan orang ramai berhubung perkahwinan warganegaranya berusia 11 tahun dengan lelaki Malaysia berumur 41 tahun.
Peraturan baharu Majlis Agama Islam Pusat Thailand (CICOT) itu diumumkan di masjid seluruh negara mulai 14 Disember lalu.
Peraturan baru itu akan memastikan masjid tempatan tidak memberi kebenaran perkahwinan melibatkan kanak-kanak perempuan berumur di bawah 17 tahun kecuali mahkamah syariah memberi kebenaran atau ibu bapa mereka menandatangani dokumen yang membenarkan perkahwinan itu yang akan diadakan di pejabat jawatankuasa Islam wilayah atau di balai polis tempatan.