‘Ugutan’ supaya Tok Batin tidak sokong PH letak jawatan bukan isu besar, kata Manogaran

‘Ugutan’ supaya Tok Batin tidak sokong PH letak jawatan bukan isu besar, kata Manogaran

Manogran membuat rumusan itu berdasarkan respons Tok Batin dan Orang Asli yang ditemuinya tidak membangkitkan perkara berkenaan.

Calon PH M Manogaran berkata, Tok Batin dan masyarakat Orang Asli yang ditemuinya tidak membangkitkan isu ‘ugutan’ oleh senator Bob Manolan. (Gambar Bernama)
CAMERON HIGHLANDS:
Calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran tidak menganggap kontroversi yang dicetuskan Senator Bob Manolan Mohd untuk tidak membayar gaji Tok Batin yang tidak menyokong PH dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Cameron Highlands sebagai satu isu yang besar.

Beliau membuat kesimpulan itu berdasarkan respons Tok Batin dan masyarakat Orang Asli yang ditemuinya tidak membangkitkan perkara berkenaan.

“Saya baru masuk kampung Orang Asli, saya nampak mereka tidak begitu beri tumpuan isu itu. (Mereka) tidak bangkitkannya sebagai satu isu yang besar.

“Mereka ada tanya saya, tetapi saya tidak nampak ia akan ganggu kempen,” katanya kepada pemberita selepas ceramah pengenalan calon PH di Felda Sungai Koyan 3, Jelai malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan sama ada kenyataan Bob Manolan sehari sebelum hari penamaan calon itu akan mengganggu kelancaran kempen PH.

Manolan dalam satu majlis pertemuan dengan masyarakat Orang Asli di situ dilaporkan mengugut akan memecat Tok Batin yang tidak menyokong PH dalam PRK 26 Jan ini.

Bagaimanapun, beliau kemudiannya menafikan membuat ugutan itu, sebaliknya berkata, beliau hanya memberitahu Tok Batin yang merupakan ketua Umno cawangan dan tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan persekutuan supaya meletak jawatan.

Dalam ceramah sama, seorang pemimpin PH berkata, PRK Cameron Highlands kali ini berbeza kerana ia diadakan bukan kerana kematian wakil rakyat, sebaliknya berikutan ketiadaan integriti pemenang kerusi itu sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof berkata, PRK Cameron Highlands diadakan susulan “integriti yang telah mati” kerana wakil rakyat sebelum ini telah merosakkannya.

“Dulu PRK diadakan sebab wakil rakyat meninggal dunia, tapi kali ini sebab integriti yang meninggal. PRK ini diadakan untuk hidupkan kembali amanah,” katanya.

Hadir sama Adun Ketari Young Syefura Othman.

Pada 4 Jun lepas, Manogaran yang tewas dalam pilihan raya umum 9 Mei memfailkan petisyen memohon perisytiharan keputusan pilihan raya bagi kerusi Cameron Highlands yang dimenangi calon BN, Datuk C Sivarraajh dari MIC, terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Berikutan itu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan pilihan raya berkenaan terbatal berikutan terdapatnya unsur rasuah untuk mendapatkan undi dalam kempen Sivarraajh.

Sivarraajh, yang menghadapi persaingan 5 penjuru dalam pilihan raya umum tersebut memenangi kerusi Cameron Highlands dengan mendapat 10,307 undi, mengalahkan pesaing terdekatnya Manogaran yang meraih 9,710.

PRK Cameron Highlands yang ditetapkan pada 26 Jan depan menyaksikan Manogaran berhadapan saingan daripada calon BN, Ramli Mohd Nor dan 2 calon bebas, Sallehuddin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.