Polis tembak mati lelaki cuba campak kanak-kanak dari tingkat 4

Polis tembak mati lelaki cuba campak kanak-kanak dari tingkat 4

Polis Sabah berkata, pihaknya terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek, selepas berunding kira-kira 2 jam dengan suspek dan lelaki terbabit cuba mencampak kanak-kanak itu dari tingkat 4 apartmen terbabit.

Mangsa berusia 2 tahun cedera kerana suspek meletakkan pisau di lehernya.
TUARAN:
Polis Sabah menembak mati seorang lelaki yang menjadikan kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun sebagai tawanan di sebuah apartmen di Telipok, dekat sini, petang tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata tindakan itu diambil selepas suspek cuba mencampak kanak-kanak tersebut dari tingkap dapur sebuah unit di tingkat 4 apartmen berkenaan kira-kira 6 petang tadi.

Katanya, polis menerima laporan kanak-kanak perempuan itu diculik seorang lelaki tidak dikenali pada 4 petang.

“Di tingkat 4 blok apartmen ini ada sebuah gerai dan suspek pergi ke gerai itu, sebelum tiba-tiba mengeluarkan pisau dan menangkap kanak-kanak tersebut yang berada di luar gerai dan mengurungnya di unit rumah tersebut,” katanya di tempat kejadian.

Beliau berkata, suspek yang dianggarkan berusia 30-an sebelum itu mengarahkan penghuni unit berkenaan keluar dari rumah.

“Selepas menerima laporan itu, polis bergegas ke lokasi kejadian dan cuba berunding dengan suspek agar melepaskan kanak-kanak tersebut, namun suspek terus meletakkan pisau di leher kanak-kanak berkenaan sehingga menyebabkan luka.

“Suspek kemudian cuba mencampak kanak-kanak itu dan polis terpaksa mengambil tindakan melepaskan beberapa das tembakan ke arah lelaki berkenaan,” katanya sambil menambah polis mengambil kira-kira 2 jam berunding dengan suspek.

Menurut Omar, suspek maut di tempat kejadian, sementara kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Likas untuk rawatan lanjut.

Katanya, pemeriksaan awal polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada badan suspek dan lelaki itu juga dipercayai bukan penduduk setempat.

Beliau tidak menolak kemungkinan suspek mengalami masalah mental kerana dia tidak membuat sebarang ugutan mahupun tuntutan, ketika diminta melepaskan kanak-kanak tersebut dan menyerah diri.

Katanya, polis akan menyiasat motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, nenek mangsa, Sharmala Mohd Akhir menafikan kejadian itu berpunca daripada dendam.

“Kami tidak kenal langsung dan tidak pernah nampak lelaki itu,” katanya di lokasi kejadian.

Katanya, beliau hanya tahu cucunya diculik dan dijadikan tawanan selepas berlaku kekecohan di kawasan itu.

Ibu saudara kanak-kanak itu, Nor Fatihah Nasir pula berkata, ketika kejadian, ibu mangsa berada di dalam rumah.

“Si ibu hanya tahu anak diculik selepas diberitahu jiran.”

Dalam pada itu, Pengarah Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas, Dr Tan Bee Hwai dihubungi Bernama berkata, mangsa yang sedang menjalani rawatan pakar, kini dalam keadaan stabil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.