
Katanya, Tok Batin juga bebas mempunyai fahaman politik berbeza dan mengundi mana-mana calon tanpa sebarang tekanan pada 26 Januari ini.
“Tok Batin walaupun pegang jawatan dalam Umno, pemimpin PH telah memberi jaminan gaji mereka akan tetap diberikan tanpa sebarang halangan.
“Sama seperti penjawat awam, mereka terima gaji daripada kerajaan, tapi mereka boleh pegang jawatan dalam mana-mana parti, tidak ada masalah,” katanya selepas melawat perkampungan Orang Asli di Pos Mensun hari ini.
Kelmarin, senator PKR, Bob Manolan Mohamad didakwa memberi amaran kepada Tok Batin di Cameron Highlands untuk menyokong parti pemerintah atau bakal kehilangan jawatan mereka.
Manolan kemudiannya menafikan dakwaan itu dengan berkata, beliau hanya memberitahu Tok Batin yang merupakan ketua Umno cawangan yang tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan persekutuan supaya meletak jawatan.
Dakwaan beli undi
Manogaran berkata, beliau tidak tahu mengenai gambar tersebar di media sosial menunjukkan beberapa individu berbaju merah PH mengagihkan wang.
“Saya tidak berada di sana dan saya baru tahu pagi ini. Kita perlu menyiasat dan membuat tindak balas, saya tidak mengatur perkara sedemikian. Saya tidak tahu bagaimana ia berlaku.”
Beberapa gambar tersebar di media sosial sejak pagi tadi menunjukkan beberapa individu berbaju PH didakwa mengagihkan wang kepada penduduk Cameron Highlands yang dalam tempoh berkempen PRK.
Terdahulu, Penolong Ketua Pusat Operasi Jelai PH, Arvind Bharet menjelaskan gambar beberapa individu berbaju PH mengagihkan wang bukannya untuk membeli undi, tetapi ia adalah bayaran balik kos petrol kepada sukarelawan.
Katanya, pembayaran balik itu akan diisytiharkan sebagai perbelanjaan PH bagi PRK Cameron Highlands.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pula dilaporkan sedang menyiasat dakwaan pemberian wang itu yang disebarkan melalui beberapa gambar dalam media sosial sejak pagi tadi.