Bagaimana elak jatuh sakit atau kemalangan ketika melancong?

Bagaimana elak jatuh sakit atau kemalangan ketika melancong?

Pelancong disyorkan mendapat nasihat doktor atau pemeriksaan awal berhubung kondisi kesihatan diri.

Mengembara atau melancong menjadi salah satu impian kebanyakan orang. Namun impian itu boleh musnah apabila anda jatuh sakit atau ditimpa kemalangan, mahupun terlibat dalam masalah sehingga mengganggu dan perjalanan lawatan.

Apatah lagi berada di negara orang, semuanya baru, dan berbeza. Nak berurusan pun mesti jadi tak tentu hala.

Baru-baru ini terlalu banyak laporan mengenai warga Malaysia yang terkandas di luar negara selepas terlibat dalam kemalangan atau sakit, lebih teruk ditahan polis dan ahli keluarga terpaksa ‘berjuang’ untuk membawa mereka pulang.

Pasti anda dengar kisah seorang anak yang terpaksa meminta bantuan orang ramai selepas bapanya jatuh sakit di London semasa menghadiri acara graduasi.

Anak tersebut perlukan dana sekitar RM367,000 untuk rawatan dan membawa pulang ayahnya yang mengalami pendarahan otak dan strok justeru terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Charing Cross, London.

Sebelum ke luar negara, banyak persiapan perlu anda lakukan agar dapat memudahkan perjalanan di sana. Persiapan itu bukan sahaja melibatkan tempat tinggal dan aturan perjalanan tetapi juga mengetahui risiko yang akan dihadapi.

FMT Ohsem menemubual Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA), Datuk Tan Kok Liang untuk berkongsi beberapa panduan berguna sebelum melancong:

Ambil perlindungan insuran

Sebagai seorang pengembara anda disarankan mengambil perlindungan insuran melancong.
Terdapat pelbagai syarikat yang menawarkan perkhidmatan insurans dengan pelbagai jenis perlindungan.

Lazimnya, perlindungan yang diberikan oleh insurans meliputi kes kemalangan dan kehilangan barang serta dokumen peribadi. Terdapat juga perlindungan dari segi kelewatan bagasi dan perjalanan namun pelancong harus membuat pilihan terbaik dalam memilih insurans perjalanan yang terbaik.

Pilih syarikat insurans yang menawarkan khidmat talian kecemasan 24 jam agar mendapat perlindungan menyeluruh.

Dapatkan nasihat doktor

Pelancong disyorkan mendapat nasihat doktor atau pemeriksaan awal berhubung kondisi kesihatan diri.

Sebelum bercuti pada musim sejuk di luar negara, penting untuk anda mendapat nasihat daripada doktor.

Dapatkan suntikan vaksin seperti influenza sekiranya perlu dan bekalan ubat-ubatan untuk tempoh sepanjang anda berada di luar negara.

Semua persediaan itu penting kerana kebanyakan farmasi di Eropah seperti Britain tidak membenarkan pelanggan membeli ubat tertentu tanpa preskripsi sah daripada doktor.

Jadi, sekiranya anda mempunyai masalah migrain atau lelah, pastikan anda membawa ubat sendiri kerana mungkin berdepan kesusahan mendapatkan ubat di negara orang.

Ingat bawa bekalan antibiotik (daripada doktor) dan ubat sakit tekak kerana ia sangat membantu pada saat memerlukan.

Bagi yang sering mengalami masalah kekejangan otot akibat cuaca terlampau sejuk, pastikan anda membawa bekalan minyak panas atau ubat melegakan otot yang berkaitan bagi mengelakkan anda menderita serangan secara tiba-tiba.

Harus diingat, keadaan sejuk melampau itu masih boleh dirasai meskipun berada di dalam premis atau bilik hotel.

Elak melancong sendirian

Pelancong juga dinasihatkan untuk mengelak daripada melancong ke luar negara bersendirian. Sekiranya mahu ‘travel solo’, pastikan anda sentiasa berkomunikasi dengan ahli keluarga semasa dalam tempoh melancong.

Ada segelintir orang pula berminat untuk memandu kenderaan sendiri ke negara lain untuk merasai pengalaman merentas negara-negara orang sebelum sampai ke negara yang ingin dituju.

Sebelum anda membuat keputusan untuk membawa kenderaan ataupun menyewa, ikuti langkah Penganalisis Politik dan Perundangan, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek agar dapat memberi serba sedikit maklumat.

a. Buat kajian tentang geografi tempat tersebut sebelum memandu, jangan ingat semua tempat di luar negara sama dengan Malaysia. Contoh lihat negara itu ada berapa musim, jalan raya mereka dan bagaimana anda mempersiapkan diri menempuh segalanya dengan selamat.

b. Beli insuran untuk melancong dan insuran kenderaan sebelum pergi mengembara ke negara lain.

c. Pastikan jenis kenderaan yang digunakan adalah sesuai untuk dibawa ke negara berkenaan, kerana bukan semua negara anda boleh guna kereta.

d. Kena patuh dengan undang-undang di negara tersebut agar ia tidak membawa masalah kepada kita.

Ingat, walaupun dekat, seseorang pelancong itu sudah menjadi warga asing di negara lain. Walaupun persekitarannya sama, tetapi status, budaya, bahasa dan mata wang yang digunakan berbeza menyebabkan masalah seperti kos rawatan di hospital

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.