Selepas 30 tahun, resort UiTM di Shah Alam akan ditutup?

Selepas 30 tahun, resort UiTM di Shah Alam akan ditutup?

Hotel 3 bintang itu merupakan lokasi popular majlis perkahwinan Melayu selama ini.

Resort dan Pusat Konvensyen Intekma di Shah Alam.
PETALING JAYA:
Sebuah pusat konvensyen dan penginapan yang terletak di Shah Alam, di bawah Universiti Teknologi Mara (UiTM) mungkin ditutup selepas 30 tahun beroperasi.

FMT difahamkan, bangunan 5 tingkat hotel berkenaan akan dijadikan tempat penginapan pelajar selama 3 tahun bermula Mac 2019.

Menurut surat pekeliling UiTM Holdings, syarikat itu menamatkan perkhidmatan anak syarikatnya, Intekma yang mengurus Resort dan Pusat Konvensyen Intekma di Shah Alam.

Surat bertarikh 10 Jan 2019 juga memaklumkan skim penamatan pekerjaan (SSS) kepada kakitangan UiTM Hospitality Management Services Sdn Bhd (UHMSSB).

Surat itu juga menyebut, UiTM Holdings mahu menutup sepenuhnya hotel 3 bintang itu, yang merupakan lokasi popular untuk mengadakan majlis perkahwinan Melayu selama ini, pada penghujung Mac depan.

Ia juga tidak akan menerima tempahan baru untuk bilik dan acara.

“Keputusan menamatkan perkhidmatan dan operasi perhotelan Intekma ini bukanlah satu keputusan yang mudah bagi pihak pengurusan,” kata surat tersebut.

“Pelbagai perbincangan dan rundingan telah dijalankan bersama lembaga pengarah dan pihak berkepentingan bagi mencapai kata sepakat berkenaan hal ini.”

FMT telah menghubungi UiTM Holdings, tetapi belum mendapat apa-apa respons.

Surat tersebut seterusnya berkata, Intekma berdepan masalah pengurusan dan kewangan sejak 4 tahun lalu.

Ia berkata, industri perhotelan dan hospitaliti kini berdepan masa mencabar, terutama di kawasan Shah Alam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.