
Mohd Syukur Khamis bukan seorang artis. Namun dia kini seorang selebriti. Gambarnya tular di media sosial sehingga diberi nama jolokan Mowgli Malaysia.
Apa yang membuatkan Syukur berbeza?
Ketika remaja lain seusianya asyik ‘melekat’ dengan gajet, Syukur memilih untuk bermain dengan kerbau.
Kemesraan Syukur dengan kumpulan kerbau peliharaan bapanya yang dirakam jurufoto Mohd Nazri Sulaiman mula tular selepas foto tersebut memenangi anugerah ‘Street/People Photographer of The Year Asian Geographic -Image of Asia 2018’ dan ‘Remarkable Award di Siena International Photography Award 2018 Italy.’

Selain Mohd Nazri dan Dollah Deen Photography, sudah ramai jurugambar yang memenangi anugerah hasil fotografi yang memaparkan momen Syukur bersama haiwan ternakan itu. Malah ramai jurugambar dari Amerika dan India yang memilih untuk merkam gambar Mowgli Malaysia ini semenjak 2016.
FMT Ohsem berkesempatan berbual dengan Syukur untuk mengenali remaja ini dengan lebih lanjut.
Apa yang membuat remaja ini rapat dengan haiwan? Menurut Syukur, dia sangat sayangkan haiwan. Walaupun sering digelar ‘Syukur Kuba’, ia tidak mematahkan perasaan sayang Syukur kepada haiwan, terutama sekali pada kerbau-kerbau yang dipelihara oleh bapanya.

“Sewaktu sekolah rendah saya sering diejek oleh kawan-kawan kerana bermain dengan kerbau ayah. Tetapi saya tak sedih kerana sudah biasa.
“Saya nak menggantikan ayah jaga kerbau satu hari nanti kerana saya sangat sayangkan haiwan,” katanya kepada FMT Ohsem.
Ketika ditanya mengenai perasaannya setelah dikenali ramai, dia rasa sangat bangga kerana nama keluarga mereka dikenali ramai kerana menternak kerbau.
“Sebelum ini ramai juga orang telah mengambil gambar saya bermain dengan kerbau di ladang ayah. Tetapi saya tidak pernah meminta sebarang wang kepada mereka, ikutlah kalau mereka nak bagi pada saya.

“Duit yang dapat tu bolehlah buat belanja sekolah.” katanya bercita-cita membuka sebuah zoo.
Sementara itu, abang kelima kepada Syukur, Muhammad Azhar Khamis, 23 tahun memberitahu adik-beradik beliau semua sering kali diejek kerana bapa seorang pengembala haiwan tetapi ia adalah punca rezeki keluarganya.
“Kerbau yang paling Syukur sayang dan manja bernama Awang. Tetapi ini tak bermaksud dia hanya minat kerbau, Syukur sangat menyayangi haiwan-haiwan lain seperi kambing, lembu, kucing, angsa dan ikan laga, senang cerita semualah.
“Bapa kami memang dari kecik dah bawa kami 8 beradik pergi ke kawasan ternakan kerbau. Syukur ini dari umur 6 tahun dah ikut kami semua teman ayah uruskan kerbau untuk mengenali lebih dekat sifat kerbau ini jinak ataupun tidak,” katanya.
Keakraban dan keihlasan Syukur bersama haiwan turut menerima pujian daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]