
Syed Farid Alatas, warga Malaysia yang kini berkhidmat di Universiti Nasional Singapura berkata, beliau percaya institusi tempatan perlu mengetepikan idea mahu mencontohi institusi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa semata-mata kerana mahu mencontohinya.
Katanya kepada FMT, beliau menyokong penuh usaha UIA mencapai standard lebih tinggi, tetapi “kita tidak perlu mengikut model Oxford, Cambridge, Harvard atau mana-mana universiti itu semata-mata kerana mahu mencontohinya kerana banyak aspek model pendidikan mereka tidak sesuai dengan kita.”
Idea mahu menjadikan UIA sebuah Oxford disebut beberapa kali oleh bekas presidennya, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
Maszlee baru-baru ini memaklumkan bahawa beliau telah melepaskan jawatan tersebut. Semalam universiti berkenaan berkata, ia telah menyerahkan senarai nama calon presiden baru UIA kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang akan mengemukakannya kepada ketua perlembagaan UIA, Sultan Pahang.

Farid berkata, sesetengah univesiti di luar negara cenderung untuk meminggirkan suara bukan-Barat dan akan mengajar subjek berkaitan Asia, seperti agama Timur dari perspektif Eropah.
“Keadaan ini boleh difahami kerana mereka adalah orang Eropah yang mempelajari masyrakat atau peradaban lain,” katanya.
“Bagaimanapun kita tidak boleh menggunakan pendekatan serupa di Malaysia kerana kita bukan sahaja mahu mempelajari tentang orang Islam, Hindu atau Buddha, tetapi mahu memahami mereka dari perspektif kita sendiri.”
Beliau memberi contoh pengajian agama Hindu di Eropah dengan berkata, adalah tipikal sekiranya agama itu dilihat dari sudut pandang agama Kristian.
Ini, katanya, berbeza dengan pendekatan cendekiawan Islam abad ke-12 al-Biruni misalnya, yang cuba memahami agama Hindu.
Beliau berkata, orang Eropah biasanya akan mengandaikan Hinduisme, seperti juga agama Kristian, lahir daripada aliran yang berbeza-beza, sedangkan ia sebenarnya adalah beberapa agama yang berlainan dan penganut agama Hindu terbahagi mengikut dewa yang mereka sembah.
Farid juga mengkritik pendekatan universiti Barat yang dipanggilnya “kapitalistik”, dengan berkata, ini melahirkan obsesi untuk mempertahankan indikator pencapaian tertentu serta mengadakan atau membatalkan sesuatu program berdasarkan popularitinya.
“Jika sesuatu program atau jabatan tidak popular, ia ditutup, walaupun boleh dihujahkan kenapa ia harus berada di situ. Oleh sebab itulah, sebagai contoh, anda lihat banyak jabatan falsafah ditutup.”
Beliau juga bercakap tentang “penyakit mahu naik lebih tinggi” dari segi kedudukan dan berkata, ia menjangkiti banyak universiti yang mengikuti model Eropah.
Beliau mendakwa keadaan ini menimbulkan masalah ketidakjujuran dalam amalan akademik, dengan memberikan contoh bagaimana pelajar pasca siswazah dikehendaki meletakkan nama penyelia mereka dalam penerbitan kajian sebagai pengarang bersama walaupun mereka tidak berbuat apa-apa.
“Ini dibuat supaya angka penerbitan kakitangan akademik bertambah, sekali gus kedudukan mereka dalam sistem,” katanya.
“Sikap berorientasi pasaran ini adalah merosakkan dan sesebuah universiti tidak akan menjadi hebat dengan cara itu. Universiti mestilah berkait dengan budaya intelektual. Ia haruslah bersandarkan keghairahan dan minat mendalam untuk belajar dan mestilah dipandu oleh etika supaya ia terus berkembang.”
Beliau berkata, universiti tempatan harus berusaha membebaskan dunia Melayu daripada stereotaip ras, yang menurutnya. merupakan peninggalan penjajahan Eropah.
“Dari sudut itu, kita tidak boleh berkata kita mahu mana-mana universiti kita dilihat sebagai Oxford Timur atau sepertinya kerana universiti kita masih perlu bersihkan daripada pengaruh penjajahan,” tambah beliau.
Farid mengalu-alukan keputusan Maszlee melepaskan jawatannya di UIA dengan berkata, adalah lebih baik individu bukan-politik mengetuai institusi pendidikan.
Beliau berkata, presiden UIA mestilah sekurang-kurangnya seorang cendekiawan ternama dan hasil akademiknya diiktiraf di peringkat antarabangsa.