
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata 34 orang migran yang terdiri daripada 24 warga Sri Lanka, dan 10 warga India, di samping 3 orang lelaki warga Sri Lanka yang merupakan anggota sindiket terbabit, berjaya ditangkap dalam operasi berkenaan.
Migran Sri Lanka itu terdiri daripada 12 lelaki dan 8 wanita dewasa dan masing-masing 2 kanak-kanak lelaki dan perempuan, manakala migran India itu terdiri daripada 4 lelaki dewasa, 3 wanita serta 3 kanak-kanak perempuan.
“Sindiket itu dikesan menggunakan laluan maritim di kawasan Klang, Selangor untuk menyeludup migran ke Australia dan New Zealand,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati sindiket itu membeli sebuah bot pelancong (pesiaran) dan dalam proses membeli 3 engin bot untuk tujuan penyeludupan migran ke Australia dan New Zealand.
Menurutnya, semua yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan cuba keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak sah.
Beliau berkata dengan penangkapan itu, PDRM berjaya melumpuhkan satu rangkaian sindiket penyeludupan manusia di Malaysia yang beroperasi sejak pertengahan 2018 dan mempunyai rangkaian hubungan antarabangsa merentasi Sri Lanka, India, Australia dan New Zealand.
“Usaha untuk membanteras rangkaian penyeludupan manusia akan terus ditingkatkan oleh PDRM,” katanya.