Perunding kaut berjuta daripada Kementerian Pendidikan di zaman BN

Perunding kaut berjuta daripada Kementerian Pendidikan di zaman BN

SPRM boleh kesan pembaziran, salah guna kuasa jika ia buat sedikit siasatan, kata bekas pegawai kanan Padu

PETALING JAYA: Kerajaan digesa merombak sebuah unit di Kementerian Pendidikan yang didakwa bertanggungjawab membazirkan jutaan ringgit di bawah pentadbiran kerajaan lalu.

Gesaan dan dakwaan ini dibuat oleh Raja Nazim Raja Nazuddin, yang pada suatu masa menjadi ketua pegawai kewangan di unit tersebut, iaitu Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (Padu).

Padu ditubuhkan pada 2013 untuk menggerakkan dan memantau prestasi inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 diwujudkan oleh sebuah firma terkenal.

“Dari awal lagi, Padu sudah menuju kegagalan kerana ia dipimpin orang yang tiada pengalaman dalam transformasi sistem pendidikan dan orang macam ini diharapkan membimbing kakitangan Kementerian Pendidikan,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, pelan tersebut sahaja memakan belanja RM20 juta.

Katanya, pada mulanya 100 inisiatif dicadangkan di bawah pelan tersebut.

Menyedari ini mustahil dapat dicapai, katanya, Padu turunkan kepada 55 dan seterusnya kepada kira-kira 20 inisiatif sahaja.

Bagaimanapun, katanya, kementerian tersebut memutuskan untuk melantik firma peunding yang sama bagi membimbing dalam membina kapasiti serta kecekapan dalam kementerian untuk pelaksanaan pelan berkenaan.

“Ini menelan kos RM20 juta lagi, dengan kos masa bulanan antara RM245,000 dan RM640,000 setiap perunding. Tiada sesiapa dalam kementerian atau Padu memantau masa yang dihabiskan oleh perunding-perunding tersebut untuk projek berkenaan,” katanya.

Raja Nazim mendakwa kementerian juga gagal mengenal pasti kakitangan yang ada kecekapan dan komitmen untuk menerima pemindahan ilmu daripada perunding.

Katanya, seorang pegawai Padu telah mencadangkan firma perunding yang sama dilantik semula pada kos RM28 juta walaupun gagal dalam usaha membimbing itu dan tidak mempunyai wang yang cukup.

Bagaimanapun, katanya, cadangan pegawai tersebut ditolak.

Raja Nazim mendakwa kementerian membazirkan wang orang awam melantik satu lagi firma perunding dengan kos RM600,000 untuk menjalankan kaji semula sistem pendidikan secara komprehensif.

“Firma itu tiada rekod melaksanakan tugas seperti itu. Firma yang disokong kepada kementerian tersebut juga dibayar elaun bulanan yang biasanya dibayar kepada kakitangan awam kanan selain daripada RM600,000 itu,” katanya.

Beliau memberi satu lagi contoh pembaziran, iaitu pengambilan 75 kakitangan ke dalam Padu walaupun Jabatan Perkhidmatan Awam cuma meluluskan 22 jawatan.

“Ini hanya sebahagian daripada banyak perkara melibatkan pembaziran dan salah guna kuasa yang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh dapati sekiranya mereka sedia membuat sedikit siasatan,” katanya.

FMT sedang berusaha mendapatkan kenyataan Kementerian Pendidikan mengenai dakwaan-dakwaan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.