
PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi kawasan Semenyih di Selangor, Bakhtiar Mohd Nor, meninggal dunia hari ini kerana serangan jantung di Hospital Kajang. Beliau berumur 56 tahun.
Setiausaha politik menteri besar Selangor, Borhan Aman Shah, mengesahkan kematian Bakhtiar pada jam 4.45 pagi tadi.
Bakhtiar yang merupakan ketua PPBM bahagian Hulu Langat akan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Pasir selepas salat Jumaat di Masjid Kampung Pasir, Semenyih.
Jenazah beliau akan dibawa dari rumah keluarganya di Batu 19, Jalan Sungai Lalang, Semenyih.
Bakhtiar memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Semenyih pada pilihan raya umum lepas dengan majoriti 8,964 undi mengalahkan calon Barisan Nasional, PAS dan PSM.