Tiba masa pasca siswazah UiTM dibuka kepada bukan-Bumi, kata pengarah pertamanya

Tiba masa pasca siswazah UiTM dibuka kepada bukan-Bumi, kata pengarah pertamanya

Malaysia telah mencapai satu tahap yang mewajarkan UiTM menerima pelajar semua kaum, tetapi untuk pengajian pasca siswazah.

Pengarah pertama ITM, Arshad Ayub berkata, pelajar sekarang kurang terdedah kepada cara berfikir tentang kebudayaan selain milik mereka sendiri.
KUALA LUMPUR:
Individu yang merupakan pengarah pertama institusi yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyeru supaya pelajar bukan-Bumiputera diterima belajar di pusat pengajian tinggi itu.

Tan Sri Arshad Ayub, yang dilantik sebagai pengarah Institut Teknologi Mara ketika ia dibuka pada 1965 dan memegang jawatan itu selama 10 tahun berikutnya berkata, beliau percaya Malaysia telah mencapai satu tahap dalam sejarahnya yang mewajarkan UiTM menerima pelajar semua kaum, tetapi hanya untuk pengajian pasca siswazah.

“Jika anda bertanya sama ada pelajar bukan-Melayu harus dibenarkan pergi ke UiTM, pada pandangan saya, di peringkat ijazah sarjana, graduan sepatutnya mampu bersaing dengan pelajar pelbagai bangsa,” katanya kepada pemberita yang mengikuti acara untuk pelajar sekolah kurang berkemampuan di Segambut semalam.

Bagaimanapun katanya, di peringkat ijazah pertama, pelajar Melayu dan Bumiputera lain belum bersedia untuk persaingan sedemikian, katanya, dan menambah keadaan itu juga berlaku dalam latihan profesional seperti bidang perakaunan dan kejuruteraan di universiti.

“Semua kekurangan itu berlaku di peringkat itu,” katanya. “Itu sebabnya kita masih perlu menyediakan peluang kepada mereka di peringkat itu bagi membolehkan kekurangan tersebut diatasi dan mereka boleh bersaing selepas melalui pendidikan dan latihan selama 3 atau 5 tahun.

Arshad kini 90 berkata, beliau komited membantu golongan muda yang tidak bernasib baik ketika masih bekerja dulu. “Golongan muda ini kebetulannya golongan Bumiputera. Kebanyakan mereka dari kawasan pedalaman.”

Bercakap tentang kemajuan UiTM sehingga kini, beliau berkata, alumni institusi itu telah mencecah angka 3/4 juta orang termasuk profesional dan graduan peringkat ijazah kedoktoran.

Bagaimanapun katanya, pelajar di universiti itu sekarang kurang terdedah kepada cara berfikir tentang kebudayaan selain milik mereka sendiri.

“Bagi saya, kekayaan kita dalam hidup ini ialah pendedahan kita,” katanya. “Semasa saya menjadi pengarah ITM, hanya 5% pensyarah orang Melayu. Selebihnya orang India, Cina, Portugis, Inggeris, Jepun, Belgium, Amerika, German, Australia, Kanada, malah Rusia.”

Oleh sebab itu, pelajar terdedah kepada kebudayaan dan perspektif yang luas dan pelbagai, tambah belia.

“Saya berani kata pelajar sekarang kurang terdedah,” katanya. “Jika pelajarnya 100% Bumiputera dan pensyarah 95% Bumiputera, bagaimana mereka akan terdedah kepada kebudayaan dan cara berfikir lain selain daripada menonton TV dan membaca buku?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.