
Lim Kit Siang berkata PRK Cameron Highlands adalah pembukaan kepada pertempuran PRU15 untuk PH menawan Pahang, yang membolehkan masalah tanah adat Orang Asli dapat diselesaikan.
“PRK Cameron Highlands bukan hanya pertempuran individu atau gabungan politik, tapi lebih penting lagi, pertempuran antara masa depan dan masa lalu Malaysia.
“Antara ‘Malaysia Baru’ berteraskan demokrasi, urus tadbir baik, kedaulatan undang-undang dan keadilan untuk semua masyarakat dan ‘Malaysia Lama’ dengan demokrasi yang tempang, kakistrokrasi, negara gagal dan kleptokrasi global,” katanya dalam satu kenyataan.
Barisan Nasional (BN) hari ini menamakan bekas pegawai kanan polis, Ramli Mohd Nor yang berketurunan Orang Asli untuk menentang calon DAP, M Manogaran pada PRK Cameron Highland, 26 Januari ini.
Pada PRU14, pemimpin MIC, Datuk C Sivarraajh menang dalam pertembungan 5 penjuru, menewaskan Manogaran dengan majoriti kurang 600 undi.
Mahkamah Pilihan Raya pada Nov lepas membatalkan keputusan itu selepas mendapati berlakunya rasuah dan mengarahkan PRK diadakan.
Mengulas lanjut, Lim berkata amat malang bagi Umno kerana tidak mencalonkan Ramli semasa parti itu masih berpengaruh, seterusnya melantiknya menjadi menteri atau timbalan menteri.
“Ini sekali gus mengakhiri peminggiran masyarakat Orang Asli dan membawa mereka masuk ke dalam arus perdana pembangunan negara.
“Ramli merupakan pegawai polis dari kalangan Orang Asli yang memegang jawatan tertinggi pasukan polis dalam sejarah negara.
“Ramli juga orang tempatan dari suku Semai, yang merupakan 22% pengundi Orang Asli di kerusi Parlimen Cameron Highlands,” katanya.
Lim menambah, sejak 6 dekad lalu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di bawah pemerintahan BN gagal membebaskan masyarakat Orang Asli daripada kepompong kemiskinan, kemunduran dan peminggiran.
“Hanya seorang Orang Asli yang dilantik sebagai ketua pengarah JAKOA sejak 8 tahun lalu, sementara kurang 22% kakitangan JAKAO adalah Orang Asli.”