
Kayveas yang akan bertanding di kerusi Parlimen itu berkata, Ramli Mohd Nor yang mewakili BN mampu memberi saingan sengit kepada calon PH, M Manogaran kerana bekas pegawai kanan polis itu ialah Orang Asli yang dilihat mampu menarik banyak undi.
“Dalam keadaan BN beri fokus kepada Orang Asli, situasi PH sekarang ialah mereka perlu fikir balik strategi mereka.
“Sekarang, saya akui (ada) saingan antara mereka berdua…kalau undi Orang Asli tidak pergi kepada PH, PH perlu fikirlah macam mana,” katanya kepada FMT hari ini.
Terdahulu, pemangku Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, BN memilih Ramli selepas mendengar permintaan pengundi Cameron Highlands dan beliau ialah anak tempatan yang mewakili 22% pengundi Orang Asli di sana.
Kayveas menyifatkan keputusan BN memilih Ramli ialah pilihan tepat untuk mempertahankan kerusi Parlimen itu.
“Selama ini, BN meletakkan calon MIC hanya tradisi. Selain itu, undi kaum India hanya 15%. Saya rasa kalau 34% undi Melayu, dengan sekarang 30% daripada kaum Orang Asli, kekuatan mereka lain sikitlah.
“Saya masih bagi PH peluang yang baik juga kerana mereka adalah kerajaan pusat, tapi kita perlu ambil kira kerajaan negeri adalah BN. Jadi, ini saingan hebat antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.”
Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh memenangi pertandingan 5 penjuru, termasuk pencabar terdekatnya, Manogaran dengan majoriti 597 undi.
Tetapi, Mahkamah Pilihan Raya pada November lalu membatalkan keputusan itu, selepas mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh berkempen.
Pada 28 Disember lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Sivarraajh tidak layak bertanding dalam PRK itu.
Untuk rekod, MIC bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands sejak 2004.