Great Eastern dikecualikan arahan pemilikan asing selepas ikrar RM2 bilion untuk skim B40

Great Eastern dikecualikan arahan pemilikan asing selepas ikrar RM2 bilion untuk skim B40

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata sumbangan itu akan memberi manfaat kepada lebih ramai orang berbanding mengurangkan pemilikan asing syarikat insurans Singapura.

Lim Guan Eng berkata syarikat insurans asing yang menyumbang kepada skim kesihatan juga akan dikecualikan daripada perlu mengurangkan ekuiti. (Gambar Great Eastern)
PUTRAJAYA:
Syarikat insurans Singapura, Great Eastern dikecualikan daripada arahan pemilikan asing Bank Negara selepas ia mengikrarkan sumbangan minimum RM2 bilion untuk satu skim kesihatan bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40), kata menteri kewangan.

Lim Guan Eng pada sidang media hari ini mendedahkan perkara itu ketika ditanya sumber dana untuk tabung perlindungan kesihatan nasional itu.

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mendakwa ada kemungkinan besar RM2 bilion untuk skim insurans B40 daripada Great Eastern, yang masih memiliki 100% kepentingan dalam operasinya di Malaysia.

Perkara itu berlaku walaupun Bank Negara pada 2017 mengarahkan syarikat-syarikat insurans asing mesti melepaskan sekurang-kurangnya 30% pemilikan kepada syarikat-syarikat tempatan.

Lim menjawab memaksa syarikat insurans asing mengurangkan ekuiti daripada 100% kepada 70% dan melepaskannya kepada institusi tempatan hanya akan memanfaatkan segelintir orang.

“Kami mahu orang kebanyakan mendapat manfaat; kami bercakap mengenai jutaan ringgit.

“Macam mana sekalipun, manfaatnya mesti kepada rakyat tetapi dengan cara ini B40 yang akan mendapat manfaatnya. Cara lagi satu itu, hanya segelintir dapat manfaat, 40 orang pun tidak.”

Beliau menambah syarikat insurans asing lain yang menyumbang kepada skim itu juga akan dikecualikan daripada mengurangkan ekuiti mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.