
Majistret, Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman ke atas lelaki itu bersama seorang wanita yang merupakan ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta sehingga 12 Januari ini bagi membantu siasatan kes sama.
Kedua-dua suspek tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya pada 9 pagi tadi dengan berbaju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga.
Semalam, SPRM menahan wanita berusia 32 tahun itu kira-kira 5.20 petang dan lelaki berusia 64 tahun itu setengah jam kemudian, selepas mereka hadir memberi keterangan di ibu pejabat agensi anti-rasuah itu di Putrajaya.
Mereka berdua disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan penjawat awam.
Jun lalu, SPRM ke Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dipercayai ada kaitan dengan satu kontrak ditandatangani Tourism Malaysia dengan sebuah syarikat.
Bekas ahli Parlimen Wangsa Mju, Wee Choo Keong menggesa pihak berkuasa mengkaji kontrak promosi antara Tourism Malaysia dan sebuah syarikat yang didakwa diberikan dalam keadaan mencurigakan.
Wee yang juga bekas pengerusi Tourism Malaysia mendakwa mesyuarat mengenai perjanjian rundingan terus bernilai RM99 juta itu, bersama kelulusan dan pemeteraian kontrak itu selesai dalam masa sehari.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab menyangkal dakwaan Wee.