Penganalisis: Tiada ketegangan Dr M-istana jika Sultan Johor jadi Agong

Penganalisis: Tiada ketegangan Dr M-istana jika Sultan Johor jadi Agong

Sultan Ibrahim sebagai Agong dan Dr Mahathir Mohamad sebagai PM akan jadi kombinasi yang baik dari segi tadbir urus.

Dr Mahathir Mohamad bersama Almarhum Sultan Iskandar dalam gambar yang diambil pada 2001. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penganalisis politik menolak kemungkinan berlaku ketegangan antara Putrajaya dengan Istana Negara sekiranya Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Dr Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, Sultan Johor akan berhenti bertelagah dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beliau menjadi Agong.

“Senarionya akan jadi berbeza,” katanya merujuk kepada beberapa insiden melibatkan perbezaan pendapat antara Dr Mahathir dengan istana Johor.

Azmi berkata, beliau yakin, sebagai Agong, Sultan Ibrahim tidak akan bertindak balas terhadap perdana menteri seperti apa yang dilakukan sebagai Sultan Johor.

“Terdapat pemisahan kuasa yang jelas antara perdana menteri dan Agong.

“Kedua-dua mempunyai tugas yang sangat jelas dari segi tanggungjawab. Sebenarnya, mereka menjadi pelengkap antara satu sama lain.

“Kombinasi Sultan Ibrahim sebagai Agong dan Dr Mahathir sebagai perdana menteri akan jadi kombinasi yang baik dari segi tadbir urus,” katanya.

Beliau merujuk kepada khabar angin melalui media sosial berikutan pengumuman keputusan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berundur Ahad lepas.

Terdapat khabar angin mengatakan Sultan Pahang yang sepatutnya mengambil alih jawatan Agong berkemungkinan besar tidak akan berlaku atas sebab kesihatan. Jika perkara itu benar, dan mengikut tradisi, Sultan Ibrahim akan mengambil alih. Jika beliau menolak, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah akan memegang jawatan tersebut.

Peletakan jawatan Agong oleh Sultan Muhammad V berlaku 3 tahun sebelum baginda tamat tempoh 5 tahun yang ditetapkan di bawah sistem giliran unik dalam kalangan 9 Raja-raja Melayu.

Dr Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura mempunyai pandangan yang serupa dengan Azmi.

Katanya, monarki raja-raja di Malaysia ditetapkan mengikut “perlembagaan secara ketat” dan institusi yang simbolik.

“Ini agak berbeza dengan susunan perlembagaan dan tradisi di Johor, yang menyaksikan peranan lebih besar untuk sultan.

“Sesiapa sahaja mengambil peranan raja perlu mengikut tradisi dan prinsip raja berperlembagaan, terutama apabila perdana menteri seorang yang kuat dan popular,” katanya.

Penganalisi politik, Kamarul Zaman Yusoff bagaimanapun, menyebut mengenai “isu yang tidak dapat diselesaikan” antara Dr Mahathir dan istana Johor.

Beliau juga mengingatkan mengenai gesaan Sultan Ibrahim kepada kerajaan supaya mendengar arahan raja-raja Melayu, bukan sebaliknya.

Katanya, perbezaan pendapat sudah banyak berlaku dan dapat dijejaki dari krisis perlembagaan pada awal 90-an, ketika Dr Mahathir, sebagai perdana menteri, mengetui kempen untuk melucutkan kekebalan raja-raja di bawah undang-undang. Langkah tersebut tercetus daripada satu insiden yang melibatkan kerabat Johor.

Sejak itu, perhubungan Dr Mahathir dengan istana Johor tidak lancar.

Dua tahun lalu, sebagai contoh, Sultan Ibrahim menuduh Dr Mahathir bermain politik kaum dalam usaha menghalau
pelabur China dari Johor. Ini disusuli dengan kritikan Dr Mahathir, yang pada masa itu dalam kem pembangkang, mengenai projek Forest City yang bertujuan menarik pelabur hartanah dari China.

Dr Mahathir juga beberapa kali berbeza pandangan melalui media dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang sering membuat kenyataan dalam media mengenai hal ehwal semasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.