Malaysia-Singapura setuju gantung kawasan larangan, sistem pendaratan instrumen

Malaysia-Singapura setuju gantung kawasan larangan, sistem pendaratan instrumen

Menteri pengangkutan kedua-dua negara perlu bertemu untuk berbincang mengenai RA dan ILS untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan penerbangan awam.

SINGAPURA:
Malaysia dan Singapura hari ini bersetuju akan menggantungkan secara serentak pelaksanaan Kawasan Larangan (RA) di ruang udara Pasir Gudang dan pelaksanaan prosedur Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) oleh Singapura untuk Lapangan Terbang Seletar.

Tempoh penggantungan serta-merta itu selama sebulan, demikian menurut kenyataan bersama selepas mesyuarat 2 hala antara Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawat, Dr Vivian Balakrishnan.

Kenyataan itu menyebut kedua-dua pihak turut bersetuju pada masa ini, menteri pengangkutan kedua-dua negara perlu bertemu segera untuk perbincangan mengenai RA dan tatacara ILS untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan penerbangan awam.

Sementara itu, berkaitan isu martim membabitkan had pelabuhan Johor Bahru dan Singapura, kedua-dua negara bersetuju menubuhkan kumpulan kerja diketuai Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, Chee Wee Kiong dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Menurut kenyataan itu, kumpulan kerja itu akan mengkaji dan membincangkan isu perundangan dan operasi untuk meredakan keadaan di lapangan dan menyediakan asas untuk perbincangan dan rundingan lanjut.

Ia menyebut kumpulan kerja itu akan melaporkan kepada kedua-dua menteri luar negeri dalam tempoh 2 bulan.

Pelaksanaan ILS di Lapangan Terbang Seletar di Singapura melibatkan pendaratan pesawat di lapangan terbang itu menggunakan ruang udara Malaysia di Pasir Gudang, Johor, yang dibantah oleh Malaysia.

Singapura dan Malaysia turut saling menuding jari berhubung apa yang setiap pihak tegaskan sebagai perluasan had pelabuhan yang dianggap mencabuli kedaulatan dan undang-undang antarabangsa.

Pada sidang akhbar bersama, Saifuddin berkata: “Kami mengadakan perbincangan yang sangat baik pagi ini…ia amat mesra…amat baik.”

Pertemuan 4 mata antara kedua-dua menteri luar negeri berlangsung kira-kira 1 jam pagi tadi, disusuli mesyuarat delegasi.

“Kita mempunyai sejarah hubungan baik yang begitu panjang dan hanya satu sahaja cara untuk terus melangkah ke hadapan…iaitu dengan memperteguhkan ikatan dan mempertingkatkan hubungan kita,” kata Saifuddin, dan menambah kedua-dua pihak amat gembira dengan perbincangan hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.