
Pameran yang memaparkan sorotan mengenai kemerdekaan negara itu mendapat kritikan pengguna twitter Emma Richards yang mempersoalkan kenapa pameran itu lebih banyak memaparkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Pameran merdeka/kemerdekaan di Muzium Negara benar-benar ‘mengampu’ Tun M.

“Beliau mendapat seluruh ruang yang dedikasikan kepada kehidupannya lebih daripada (Perdana menteri pertama) Tunku Abdul Rahman,” katanya menerusi akaun Twitter.
Dalam pada itu, tinjauan FMT ke Galeri 2, Muzium Negara yang menjadi lokasi pameran mendapati tidak semua ruang memaparkan gambar Dr Mahathir.
Pameran yang bermula pada 26 November tahun lepas dan dijadual berakhir 26 Mac depan, turut mengetengahkan tokoh dalam pelbagai bidang kepakaran masing-masing, seperti penyelidikan dan pembangunan, seni visual, sukan, angkasawan negara, sastera, diplomatik dan dunia hiburan.

Selain itu, turut dipaparkan adalah evolusi kad pengenalan, lagu kebangsaan, bunga kebangsaan, mercu tanda negara dan sebagainya.
Turut dipaparkan adalah produk kebanggaan negara dan sejarah pembentukan negara Malaysia.
Mengulas mengenai pameran tersebut, pakar sejarah dan kebudayaan, Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata, pameran bertujuan memupuk sikap menyayangi negara itu seharusnya bertunjangkan corak kehidupan Malaysia yang berakar umbikan kebudayaan kelompok pribumi.

“Unsur-unsur asing patut diambil hanya untuk memperkaya, memperluas dan mendalamkan corak kehidupan kita berlandaskan ciri pribumi,” katanya ketika dihubungi FMT.

Mengulas mengenai “penonjolan” gambar Dr Mahathir dalam pameran itu, Zainal berkata, ia seharusnya diletakkan dalam teras kepimpinan negara kerana beliau membawa negara kepada kemajuan berdasarkan tunjang pribumi.
Menurutnya, dalam konteks teras kepimpinan negara, gambar perdana menteri sebelum ini seperti Tunku Abdul Rahman perlu didahulukan dan diakhiri dengan gambar Dr Mahathir dan gambar itu juga perlulah sama rata.
“Gambar (Dr Mahathir) patut terakhir dalam siri kepimpinan negara yang membawa kemajuan kepada negara.
“Apa yang dicapai bukan sebab Dr Mahathir sekarang, ini 60 tahun dulu. Keadaan kini adalah hasil daripada pencapaian sejak dulu,” katanya.