Najib lega kerajaan PH tak batal projek bersih sungai diilhamkannya

Najib lega kerajaan PH tak batal projek bersih sungai diilhamkannya

Bekas perdana menteri itu berkata, ROL yang dijadualkan siap sepenuhnya pada 2020, mampu meningkatkan nilai hartanah, hasil ekonomi negara dan mewujudkan peluang perniagaan.

Najib meluangkan kira-kira sejam untuk meninjau perkembangan projek ‘River of Life’ dekat Masjid Jamek, hari ini.
KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Najib Razak lega kerajaan Pakatan Harapan tidak membatalkan projek River of Life (ROL) di pinggiran Dataran Merdeka yang diilhamkannya 8 tahun lalu.

Bekas perdana menteri itu berkata, projek itu yang dijadualkan siap sepenuhnya pada 2020, mampu meningkatkan nilai hartanah, hasil ekonomi negara dan mewujudkan peluang perniagaan.

“Projek ROL satu legasi saya tinggalkan. Bila projek ini siap pada 2020, ia akan jadi projek kebanggaan rakyat Malaysia. Saya difahamkan kerajaan akan teruskan projek ini.

“Cita-cita saya nak lihat bandar Kuala Lumpur ini termasuk dalam 20 bandar raya ‘Livable City’. Dulu, kualiti air berada di peringkat 4.

“Dulu, saya namakan sungai berwarna teh tarik, tidak boleh disentuh, apabila ia siap sepenuhnya, ia akan sesuai untuk rekreasi dan airnya boleh disentuh,” katanya ketika meninjau perkembangan projek itu kira-kira sejam di Medan Pasar, hari ini.

Projek ROL yang bernilai RM4.4 bilion dilancarkan pada 2011 untuk mengubah kualiti air sungai utama di Lembah Klang daripada tahap tidak selamat kepada selamat untuk kegunaan rekreasi.

ROL yang merupakan projek permulaan di bawah Greater Kuala Lumpur/Klang Valley, juga bertujuan menghidupkan semula Sungai Klang dan Gombak dalam bandar, mengubahnya menjadi kawasan “waterfront” berkembang maju dengan nilai ekonomi dan komersial melalui pembersihan, pengindahan sungai dan pembangunan tanah.

Buat masa ini, kerja pembersihan sedang dijalankan di 8 sungai sepanjang 110km yang meliputi Sungai Gombak, Sungai Batu, Sungai Jinjang, Sungai Keroh, Sungai Bunus, Sungai Ampang, Sungai Klang dan Sungai Keroyong.

Najib berkata, beliau turut membaca pandangan positif pelancong berhubung projek itu di internet dan difahamkan ROL diiktiraf 10 rancangan sungai terbaik di dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.