
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata lelaki berusia 41 tahun itu ditahan dekat sebuah gerai durian di Paya Terubong, susulan maklumat diterima pihaknya.
Isterinya yang berusia 34 tahun turut ditahan polis.
Zaimani berkata, pasangan itu yang mempunyai 4 anak, termasuk mangsa akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah reman.
Pada 31 Disember lalu, seorang jiran menghubungi polis kerana bimbang kanak-kanak itu mungkin menjaidi mangsa penderaan.
Polis berkata, dalam kejadian 1 pagi di Flat Kampung Melayu, Air Itam itu, suspek yang baru pulang daripada bekerja dan dalam keadaan lapar, berang kerana mendapati makanan disediakan isterinya dihabiskan anaknya.
Ejen jualan kad prabayar itu bertindak mengejutkan anaknya yang tidur di ruang tamu dan memarahi serta memukul mereka. Dia kemudiannya menyimbah semangkuk air panas yang diambil dari mesin penapis air minuman di ruang tamu ke arah mangsa.
Menurut polis, tindakan lelaki itu disaksikan isterinya yang tidak menghalang perbuatan suspek, tetapi turut memarahi mangsa yang merupakan anak perempuan tunggal mereka.
Doktor di Hospital Pulau Pinang berkata, mangsa mengalami lecur 3% pada lengan, rusuk dan dada kanannya. Beliau dilaporkan dalam keadaan stabil ketika ini.
Suspek melarikan diri bersama isterinya dan anak bongsu mereka, selepas jirannya membuat laporan polis.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mendera kanak-kanak yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda RM20,000.