
Ribut melanda bahagian tengah dan timur pulau di Filipina pada 29 Dis dan mengakibatkan banjir dan tanah runtuh. Lebih 100 mati di wilayah pergunungan Bicol di tenggara Manila, kata pegawai agensi bencana alam wilayah.
Walaupun wilayah Bicol kerap dilanda taufan, ramai penduduk tidak mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu kerana ribut berkenaan tidak terlalu kuat untuk dikategorikan sebagai taufan di bawah sistem amaran ribut kerajaan, menurut pegawai pertahanan awam.
Pegawai juga berkata, ramai penduduk keberatan untuk meninggalkan rumah semasa cuti Krismas.
“Dalam tempoh 2 hari sahaja, Usman membawa hujan yang mengatasi jumlah hujan sebulan di wilayah Bicol,” kata jurucakap agensi bencana kebangsaan, Edgar Posadas dengan menggunakan nama tempatan ribut berkenaan yang semakin lemah semasa memasuki kawasan tekanan rendah.
“Operasi mencari dan menyelamat kami sedang berjalan tetapi lumpur dan keadaan tanah tidak stabil menjadi cabaran utama.”
Angka kematian dijangka meningkat susulan 26 lagi masih hilang, kata Posadas.
Lebih 152,000 orang dipindahkan berikutan ribut berkenaan dan 75 cedera, menurut agensi bencana kebangsaan.
Presiden Rodrigo Duterte melawat kawasan terbabit Jumaat lepas dan menggesa pegawai membina pusat perpindahan, dan tidak menggunakan sekolah sebagai tempat perlindungan mangsa ribut.
Lebih 20 taufan dan ribut melanda Filipina setiap tahun dan membunuh beratus-ratus orang.
Kejadian terbaru paling buruk ialah Taufan Raksasa Haiyan pada 2013 yang meyebabkan kematian atau hilang lebih 7,360 orang di tengah Filipina.