Sarawak, Petronas akan teruskan perbincangan isu petroleum

Sarawak, Petronas akan teruskan perbincangan isu petroleum

Ketua menteri Sarawak berkata, Petronas mengambil langkah berhati-hati berikutan minat Sarawak mengambil bahagian dalam aktiviti hiliran dan huluan industri minyak dan gas di negeri itu.

Abang Johari Openg mencadangkan kerajaan persekutuan mengurangkan kadar cukai pendapatan petroleumnya kepada 33% sahaja. (Gambar fail)
KUCHING:
Perbincangan antara kerajaan Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengenai isu petroleum akan diteruskan, kata Ketua Menterinya, Datuk Abang Johari Openg.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan perkara itu yang dicadangkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet pada 17 Disember lalu.

Abang Johari berkata, ini disebabkan pihak Petronas mengambil langkah berhati-hati berikutan minat Sarawak mengambil bahagian dalam aktiviti hiliran dan huluan industri minyak dan gas di negeri ini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Konsultatif Perjanjian Malaysia 1963 di pejabatnya di sini, semalam.

Menurut Abang Johari, dalam mesyuarat 17 Disember lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyampaikan pandangan yang cukai jualan dikenakan ke atas produk petroleum bermula 1 Januari ini tidak wajar, tetapi kerajaan negeri menegaskan ia adalah hak Sarawak yang dilaksanakan di bawah Perlembagaan Persekutuan, Perkara 95C dan Jadual Kesepuluh.

“Sarawak juga berpandangan ianya hendaklah mengambil kira cukai petroleum (PITA) yang dikenakan kerajaan persekutuan,” katanya.

Ditanya lanjut, Abang Johari berkata, Sarawak sebenarnya boleh mengenakan peratus cukai lebih tinggi, misalnya 10% tetapi kerajaan negeri turut mempertimbangkan ekonomi semasa.

Katanya, menteri kewangan memberi sebab ketidak wajaran mengenakan cukai jualan itu atas faktor ia akan menaikkan kos dan pelabur mungkin tidak mahu lagi melabur dalam industri minyak dan gas di Malaysia.

“Tetapi, jawapan saya kepada beliau ialah hak mengenakan cukai dibenarkan di bawah Perlembagaan, tetapi jika ia tidak kompetitif, maka kerajaan persekutuan boleh membuat perubahan ke atas struktur cukainya kerana pada masa ini, kerajaan persekutuan turut mengenakan cukai pendapatan petroleum sebanyak 38%.”

Sehubungan itu, Abang Johari mencadangkan kerajaan persekutuan mengurangkan kadar cukai pendapatan petroleumnya sebanyak 5% kepada 33% sahaja.

“Kenapa harus kita (Sarawak) mengorbankan hak kita?” soalnya sambil berkata anggota jawatankuasa khas itu turut bersetuju ia adalah hak Sarawak.

Katanya, dalam mesyuarat jawatankuasa khas itu, 5 perkara dibincangkan dan kerajaan Sarawak menyokong atas cadangan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan mengenai 3 wilayah dalam pembentukan Malaysia.

Mesyuarat itu juga bersetuju isu yang dibentangkan Sarawak dan Sabah akan diperinci serta dibincangkan lebih lanjut 2 jawatankuasa yang turut ditubuhkan, iaitu jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa kerja.

Selain itu, katanya, mesyuarat juga bersetuju penambahan anggota jawatankuasa khas seperti dicadangkan Sabah dan Sarawak.

“Kajian semula perkara-perkara khusus yang hanya melibatkan Sarawak dan Sabah tidak akan menjejaskan kedudukan negeri lain dalam hal kuasa negeri menggubal undang-undang negeri, geran khas dan hasil pendapatan khas di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa khas diberi 6 bulan mendapatkan laporan penuh dan jalan penyelesaian bagi isu dikemukakan jawatankuasa itu.

Katanya, jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa kerja akan mula membincangkan perkara berkenaan mulai bulan ini, manakala mesyuarat seterusnya bagi jawatankuasa Kabinet dijangka diadakan pada Februari dan April ini.

Sementara itu, Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak menetapkan beberapa perkara tertentu yang tidak terbuka untuk perbincangan, iaitu kuasa autonomi imigresen, hak menguatkuasakan undang-undang negeri mengikut Perlembagaan Persekutuan, perlindungan sempadan negeri dan kedaulatan atas dasar laut, bawah tanah dan hasil di dalam sempadan negeri.

Manakala isu yang perlu dibincangkan dalam jawatankuasa khas itu ialah keperluan kajian semula pemberian khas kepada Sarawak dan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, hak kepada sumber kewangan tambahan di bawah Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Juga perlu dibincangkan ialah kuasa baki perundangan di bawah Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan, tanah negeri yang tidak diperlukan lagi oleh kerajaan persekutuan, iaitu yang terletak di bawah Suruhanjaya Tanah Persekutuan hendaklah dikembalikan kepada Sarawak dan pelaksanaan kuasa persekutuan berkaitan pendidikan, perubatan dan kesihatan yang kurang memuaskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.