
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata kerajaan pusat menghormati keputusan itu dan tidak akan campur tangan buat masa ini.
Semalam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis dilapor menamatkan perkhidmatan 25 imam masjid berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Keputusan itu dibuat melalui mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada 6 Disember lalu dan dimaklumkan melalui surat bertarikh 31 Disember tahun lalu.
“Saya percaya dengan kebijaksanaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk menyelesaikan isu berkenaan, memandangkan segala prosedur penyambungan kontrak jawatankuasa kariah masjid dan lantikan di bawah kelulusan MAIPs,” katanya selepas menjadi tetamu dalam rancangan “Ruang Bicara” terbitan Bernama News Channel, malam tadi.
Mengulas artikel ditulis Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Muzaffar Syah Mallow yang menyarankan perokok tidak diberikan zakat, Mujahid berkata, pemberian zakat tidak seharusnya dikaitkan dengan perokok, biarpun berdasarkan fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, rokok adalah haram kerana membawa kemudaratan.
Bagaimanapun, katanya, pengharaman itu tidak digazetkan dalam undang-undang negara ini.
Justeru, katanya, untuk mengaitkan pemberian zakat kepada mana-mana 8 golongan yang layak, termasuk perokok tidak wajar sama sekali.