Putrajaya cadang guna lebihan Marris untuk selenggara jalan persekutuan

Putrajaya cadang guna lebihan Marris untuk selenggara jalan persekutuan

Langkah ini perlu memandangkan bajet kerajaan persekutuan terhad, kata Baru Bian.

Baru Bian di pejabat LLM wilayah utara di Batu Uban, Pulau Pinang, hari ini.
GEORGE TOWN:
Kerajaan persekutuan mencadangkan lebihan daripada dana yang disalurkan kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk selenggara jalan negeri digunakan bagi menyelenggara jalan persekutuan memandangkan belanjawan persekutuan yang terhad tahun ini.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata kementerian menghadapi cabaran menyelenggara jalan persekutuan kerana kekangan perutukan, dan mahu berbincang tentang lebihan daripada peruntukan Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).

“Saya berpendapat perbincangan harus dilakukan agar peruntukan Marris yang berlebihan yang tidak digunakan turut digunakan untuk menyelenggara jalan persekutuan di negeri-negeri,” katanya pada sidang media di Lembaga Lebuhraya Malaysia Wilayah Utara hari ini.

Jalan persekutuan dan kampung biasanya diselenggara masing-masing melalui dana Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Dana untuk penyelenggaraan jalan negeri melalui peruntukan geran jalan negeri bawah Artikel 109 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan yang diberikan kepada semua negeri.

Wang tersebut berada di bawah Marris dan diletakkan di bawah badan amanah, dikendalikan kerajaan negeri.

Mereka yang memerlukan wang itu hendaklah memohon dan akan diberi geran berdasarkan formula yang ditentukan untuk mengukur panjang, lebar dan gred jalan yang akan diselenggarakan itu.

Kini terdapat kira-kira 50,000 km jalan persekutuan di negara ini di bawah pemantauan Kementerian Kerja Raya, kecuali Sabah dan Sarawak.

Di Pulau Pinang, di samping Jabatan Kerja Raya (JKR) Jabatan Parit dan Saliran juga memohon dana Marris memandangkan ia mempunyai hingga 30% jalan di negeri itu, kebanyakannya di kawasan bendang.

Pulau Pinang juga mempunyai jalan perbandaran yang dikendalikan oleh majlis tempataan.

Ditanya sama ada kerajaan persekutuan akan memberi lebih banyak peruntukan untuk penyelenggaraan jalan di Pulau Pinang, Baru berkata, ia agak susah sekarang kerana perbelanjaan kerajaan terhad.

Katanya, cara terbaik ialah bagi dana Marris dibukakan untuk semua jenis jalan kerana ia memberi manfaat kepada penyelenggaraan jalan di kawasan luar bandar, terutama jalan “Jiwa Murni” di Sarawak yang dilaporkan dalam keadaan daif.

Katanya, kebanyakan jalan luar bandar di Sarawak dibina oleh kerajaan persekutuan, tetapi tidak diberikan dana daripada Marris untuk diselenggarakan.

Secara logik, katanya, penyelenggaraan semua jalan patutnya layak dipohon daripada dana Marris.

“Saya gembira mendengar terdapat pembangunan di Sarawak sekarang dan negeri tersebut telah mengubah peraturan untuk memasukkan Jalan ‘Jiwa Murni di bawah kelayakan dana Marris.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.