Nahas UPSI: Jalan raya kali terakhir diselenggara 6 Jun

Nahas UPSI: Jalan raya kali terakhir diselenggara 6 Jun

Timbalan menteri kerja raya nafi dakwaan keadaan jalan raya di lokasi kemalangan korban 15 penuntut UPSI rosak, berlubang.

Dalam kejadian awal pagi semalam, 15 penuntut UPSI maut apabila bas dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat berdekatan Tasik Banding, Gerik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan berkata, jalan raya di lokasi kemalangan mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi semalam kali terakhir diselenggara pada 6 Jun lepas.

Walaupun jalan itu tidak 100% rata, namun keadaannya baik, katanya sekali gus menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya jalan terbabit rosak dan berlubang.

“Sebagaimana yang ditularkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, kononnya akibat jalan berlubang tayar bas berkenaan pecah dan menyebabkan kemalangan … Saya ingin nyatakan tidak ada tayar yang pecah pun, dan tidak ada jalan yang berlubang.

“Tidak wajar tularkan berita tidak benar dalam media sosial yang membangkitkan rasa tidak puas hati, khususnya terhadap Jabatan Kerja Raya (JKR) yang melaksanakan (kerja) membaiki jalan, dan jalan itu jalan persekutuan,” katanya kepada pemberita di Tuaran, hari ini, lapor Bernama.

Dalam kejadian awal pagi semalam, seramai 15 penuntut UPSI maut apabila bas dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berdekatan Tasik Banding, Gerik.

Bas yang disewa khas itu berlepas dari Jertih, Terengganu, pada 9 malam Ahad, menuju ke kampus di Tanjung Malim, Perak sebelum terlibat dalam kemalangan.

Ahmad hari ini berkata, terdapat papan tanda di jalan terbabit menyatakan ‘selekoh di hadapan adalah kawasan kemalangan’.

“Apa pun terjadi, kita serahkan kepada pasukan petugas khas untuk menyiasat kemalangan. Kita tidak mahu tuduh menuduh terutamanya tentang teknikal,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.