
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, pertemuan antara Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatannya, Vivian Balakrishnan itu akan membincangkan antaranya tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) Lapangan Terbang Seletar dan pencerobohan perairan Pantai Tuas.
“Mereka akan membincangkan semua isu berkaitan, termasuk apa yang berlaku sebelum ini,” katanya selepas majlis menandantangani perjanjian kerajaan Malaysia dan MASwings Sdn Bhd (MASwings) di sini hari ini.
Ketegangan antara Malaysia dan Singapura berhubung pelaksanaan tatacara ILS bermula hujung tahun lepas dan Malaysia mahu Singapura menarik balik rancangan melaksanakan ILS atau mengubah laluan penerbangan ke Lapangan Terbang Seletar di republik itu.
Loke dilaporkan berkata, laluan penerbangan untuk sistem itu akan memberi impak besar kepada pembangunan di Pasir Gudang, susulan sekatan ketinggian struktur di kawasan berkenaan.
Katanya, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan melakukan siasatan, sekiranya berlakunya pelanggaran berhubung pencerobohan ruang udara Pasir Gudang, Johor oleh pesawat keluar masuk di Lapangan Terbang Seletar sebagaimana dilaporkan media hari ini.
Media tempatan hari ini melaporkan beberapa pesawat ringan dan kapal terbang dilihat berlegar di ruang udara Malaysia sebelum mendarat di Lapangan Terbang Seletar, susulan penguatkuasaan tatacara ILS semalam.
Lapangan terbang itu terletak hanya 2km dari Pasir Gudang.
Malaysia mengisytiharkan pewujudan Kawasan Larangan kekal di ruang udara Pasir Gudang berkuat kuasa 2 Januari lepas, melalui Notis Kepada Juruterbang (Notam) pada 25 Disember lepas yang dikeluarkan CAAM.