
Beliau berkata, harga RON95 ialah RM1.93 seliter, RON97 pula RM2.23 seliter dan diesel berharga RM2.04 seliter mulai esok hingga 11 Januari ini.
Katanya, harga petrol dan diesel akan ditetapkan secara mingguan menggunakan kaedah apungan terkawal, dengan pengumuman dibuat setiap Jumaat dan berkuat kuasa tengah malam itu.
Beliau berkata, pelarasan semula harga runcit minyak mengambil kira pandangan semua pihak terbabit, termasuk Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) yang meminta kerajaan meneliti kadar margin mereka, dalam pertemuan dengan perdana menteri Rabu lalu.
“Perlu ditegaskan harga baru ini mengambil kira tambahan komisen atau margin pengusaha stesen minyak yang diluluskan oleh mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Januari 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Kerajaan bersetuju margin pengusaha stesen minyak diselaraskan dengan tambahan 2.81 sen kepada 15 sen seliter bagi produk petrol RON95 dan tambahan 3 sen kepada 10 sen seliter bagi produk diesel.
“Ini merupakan kenaikan sebanyak 2.81 sen seliter bagi petrol dan 3 sen seliter bagi diesel, berbanding kadar semasa. Kali terakhir kadar margin ini disemak semula adalah 2008.”
Lim pada 23 Disember lalu mengumumkan harga bahan api, termasuk RON95 akan mula diapungkan secara mingguan, mulai tahun ini.
PDAM bagaimanapun membantah keputusan kerajaan mengapung dan menetapkan harga minyak secara mingguan dan meminta kerajaan menaikkan komisen pengusaha stesen minyak bagi mengurangkan kerugian.